Suatu Hari
Suatu hari kamu jadi warga yang dihina
kerana bertutur Bahasa Ibunda
Suatu hari bahasa ibunda mu bertukar
diheretnya jauh dari maksud akar
Suatu hari kamu dicaci
Kerana citra kebangsaan mu dibenci
Suatu hari kebangsaan bukan lagi milik mu
Apabila anak cucu bersekolah arus perdana tidak ketemu
Suatu hari kamu akan digelar penceroboh
Oleh tuntutan manusia yang menceroboh
Suatu hari cerita bangsa bukan lagi milik kita
Kerana wajah sejarah telah jadi caca marba
Suatu hari Tanah Air mu akan jadi Tanah mereka
Dan kamu bergelar warga asing yang tidak merdeka
Suatu hari keluruhan perlembagaan bukan lagi watan
Kerana lakaran asalnya sudah tidak kelihatan
Suatu hari kamu dipaksa menolak ombak
Jika tidak robohlah rumah dan teratak
Suatu hari tanah pusaka bukan lagi tanah air
Tidak guna air mata mengalir
Suatu hari kamu tak terdaya lagi hidup sebagai pribumi sejak azali
Kerana kaduk akan ke junjung menjadi sireh yang asli
#####
Oleh : AHMAD MURAD MERICAN | 15 September 2024
Ahmad Murad : Seorang Profesor sejarah sosial dan intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM)