TERKINI

Kajian Mengenai Kelebihan Puasa

Foto Now Jakarta

Secara saintifiknya, puasa ditakrifkan sebagai satu amalan yang melibatkan restriksi atau pembatasan kalori dalam satu jangka masa tertentu.

Puasa telah menjadi amalan manusia selama berabad dan dipercayai akan terus menjadi amalan kebiasaan bagi pelbagai bangsa, agama dan budaya pada masa hadapan. Amalan puasa tidak terhad kepada satu jenis sahaja sebaliknya corak dan tempoh amalan puasa adalah bergantung kepada individu tertentu.

Walaupun wujudnya perbezaan dari segi corak amalan, tempoh dan sebab berpuasa, secara umumnya, puasa mempunyai tujuan yang sama iaitu melambangkan pengorbanan dan menyucikan diri demi tuntutan agama, politik atau faktor kesihatan.

Selain faktor agama, bangsa dan budaya, faktor iklim tempatan juga menjadi salah satu penyumbang kepada perbezaan amalan puasa yang signifikan di kalangan populasi. Amalan puasa berterusan (Continuous Fasting) dan puasa berselang (Intermittent Fasting) adalah amalan puasa bercorak keagamaan yang popular di kalangan penganut agama Islam, Kristian dan Buddha.

Namun demikian, agama lain seperti Bahá’í, Ortodoks Timur, Hindu, Yahudi dan Mormon juga menitikberatkan amalan puasa. Pada zaman kini, puasa diamalkan bukan lagi semata-mata kerana kehendak agama tetapi atas kesedaran tentang manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada amalan ini.

Melalui kajian-kajian yang telah dijalankan, puasa telah terbukti dapat memberi impak positif kepada kesihatan seseorang sama ada secara fizikal, mental atau rohani.

Dalam 10 tahun ke belakang, para penyelidik telah berjaya membuat banyak penemuan terbaru berkenaan kebaikan puasa kepada  manusia.

Menurut Dr Sartaj Ahmad, puasa adalah satu proses terapeutik yang sangat berkesan dalam membantu memulihkan keadaan kesihatan seseorang. Puasa dapat membantu dalam proses penurunan berat badan dan peningkatan taraf kesihatan termasuk mencegah kencing manis dan mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular serta memperbaiki profil Lipid.

Puasa juga dapat meningkatkan kesihatan mitokondria, pembaikan DNA dan autofagi, mendorong pertumbuhan semula sel stem dan juga kesan metabolik yang berpanjangan. Puasa juga terbukti menyebabkan perubahan besar dalam faktor pertumbuhan dan tahap metabolit, menghasilkan persekitaran yang dapat mengurangkan keupayaan sel kanser untuk menyesuaikan diri dan bertahan dan dengan itu meningkatkan keberkesanan terapi kanser.

Puasa sangat berkesan sebagai intervensi untuk mengurangkan keradangan dan meningkatkan tindak balas imun pada manusia [9]. Di samping itu, puasa adalah satu-satunya amalan yang tidak dipengaruhi oleh faktor genetik dan terbukti secara konsisten berupaya memanjangkan jangka hayat ke atas pelbagai spesies.

Semasa berpuasa, produk penapaian mikrobiota usus seperti asetat dan laktat akan meningkat. Produk ini boleh mengurangkan kegemukan, ketahanan insulin dan steatosis hepatic.

Dari sudut kesihatan mental atau psikologi, puasa memberi kesan kepada mood seperti perubahan neurotransmitter, kualiti tidur dan sintesis faktor neurotropik. Banyak pemerhatian klinikal juga mengaitkan kesan awal berpuasa pada gejala kemurungan dengan peningkatan mood, kewaspadaan dan rasa ketenangan yang dilaporkan oleh pesakit.

Satu kajian yang dijalankan oleh De Toledo et al (2019) juga mendapati puasa terbukti dapat membantu dalam meningkatkan kesejahteraan emosi dan fizikal serta mampu mengurangkan faktor risiko kardiovaskular dan masalah kesihatan umum yang relevan.

Selain manfaat kepada penurunan berat badan, puasa bertindak sebagai agen anti-radang  dan neuroprotektif kepada penghidap Multiple Sclerosis (MS) serta mengurangkan masalah kekejangan pada penghidap epilepsi. Puasa juga mencegah faktor risiko utama untuk banyak penyakit saraf dan melambatkan neurodegenerasi, mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan pemulihan fungsi selepas strok.

Terdapat bukti empirikal melaporkan bahawa puasa yang diubah suai secara perubatan iaitu pengambilan nutrien 200-500 kcal sehari dalam jangka masa 7-21 hari berkesan dalam merawat penyakit reumatik, sindrom kesakitan kronik, hipertensi, dan sindrom metabolik.

Satu penemuan pada tahun 2018 membuktikan amalan puasa menyebabkan pertukaran metabolik dari glukosa ke keton yang berpotensi untuk meningkatkan komposisi jisim dan fungsi otot pada individu yang berlebihan berat badan.

Pertukaran metabolik ini juga mendorong pengaktifan jalur isyarat terkoordinasi yang mengoptimumkan fungsi fisiologi, meningkatkan prestasi dan memperlambat proses penuaan dan penyakit. Wanita yang berpuasa selama 21-29 hari semasa kehamilan mempunyai risiko diabetes kehamilan (gestational diabetes) yang lebih rendah berbanding dengan wanita yang tidak berpuasa.

Dalam prosedur pembedahan, puasa sebelum pembedahan diperlukan untuk mengelakkan risiko regurgitasi dan muntah serta ia juga merupakan syarat undang-undang.

Beberapa kajian telah dilakukan untuk melihat kaitan di antara prestasi sukan dan amalan puasa. Bukti yang ada juga menunjukkan bahawa atlet peringkat tinggi (elit) dapat mengekalkan prestasi walaupun berpuasa sekiranya pengambilan makanan dan cecair, latihan fizikal dan tidur adalah sesuai dan terkawal dengan baik.

Kajian terbaru juga membuktikan kesan puasa ke atas prestasi fizikal atlet sangat sedikit dan mereka mampu bertanding seperti biasa. Dengan berpuasa dan latihan yang panjang, simpanan glikogen hati akan habis dan keton dihasilkan dari asid lemak yang berasal dari sel adiposa.

Peralihan metabolik dalam sumber bahan bakar selular disertai dengan penyesuaian selular dan molekul rangkaian saraf di otak dapat meningkatkan fungsi neuroplastik serta meningkatkan daya tahan mereka terhadap tekanan, kecederaan dan penyakit.

Kajian lepas mendapati bahawa senaman semasa berpuasa bagi golongan muda yang sihat dapat meningkatkan adaptasi latihan pada profil metabolik otot rangka. Selain itu, berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif dari pengambilan tenaga berlebihan jangka pendek terhadap toleransi glukosa berbanding dengan senaman dalam keadaan tidak berpuasa.

Di samping itu, kajian terbaru mendapati puasa mempunyai kesan baik terhadap kesihatan kulit, meningkatkan keberkesanan dan keselamatan farmakoterapi (ubat) untuk setiap pesakit, memperbaiki komposisi tubuh dengan meningkatkan Jisim Tubuh Tanpa Lemak ataupun Lean Body Mass, berpotensi meningkatkan respons sel tumor terhadap kemoterapi, merangsang proses peremajaan Stem Cell, boleh membantu dalam proses penyembuhan hati berlemak ataupun Non-Alkoholic Fatty Liver Disease serta  boleh menjadi alat intervensi yang berkesan untuk mencegah jangkitan virus Covid-19 secara langsung dengan mengaktifkan tindak balas imun atau secara tidak langsung dengan merangsang autofagi.

Selain daripada yang direkodkan di atas, banyak lagi faedah lain yang boleh diperolehi melalui puasa. Dengan pengetahuan dan pendedahan tentang faedah-faedah ini, diharap manusia akan lebih sedar dan berubah dari segi persepsi ke atas amalan puasa serta bersedia untuk menjadikan amalan ini didalam kehidupan mereka untuk kesihatan yang lebih baik.

Tokoh-tokoh hebat, terkemuka dan terbilang dalam agama dan politik di masa lampau  telah pun menjadikan puasa sebagai amalan dalam hidup mereka dalam mendapat kekuatan fizikal, mental dan rohani dalam misi mencapai tujuan tertentu, anda bila lagi?

Amalan berpuasa boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan tempoh masa yang berbeza. Setiap individu boleh memilih jenis dan tempoh masa puasa mengikut kesesuaian masing-masing.

Oleh : Andri Dauni, Institut Biologi Molekul Perubatan Ukm

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp