KUALA LUMPUR, 15 Jan 2024 – Kerjaya sebagai pelukis tidak dilihat sebagai satu profesion yang kritikal dalam industri kebudayaan di Malaysia seperti mana pelakon, pengarah filem atau jurutera perfileman.
Ledakan teknologi khususnya dalam industri multimedia menjadikan kerjaya pelukis hari ini semakin mencabar.
Untuk memahami kehidupan seorang pelukis dan cabaran mereka pada hari ini, pelukis, Ali Nurazmal Yusoff yang terkenal dengan karya Alism menyatakan, untuk menjadi popular ada beberapa langkah yang dilaluinya.
Menceritakan pengalamannya dalam dunia karya lukisan, anak kelahiran Terengganu itu menjelaskan, dia mula melibatkan diri ke arah mempopularkan hasil seninya ketika bersekolah di darjah tiga lagi.
Ketika itu, katanya, dia diberi kepercayaan oleh gurunya agar menyertai satu pertandingan melukis yang menjanjikan hadiah tempat pertama sebuah basikal BMX.
“Tanpa memikir panjang, saya terus menyertainya dan lukisan saya dipilih untuk tempat nombor satu dan saya memenangi basikal BMX yang harganya agak mahal ketika itu.
“Selepas memangi bebera pertandingan dan habis belajar di sekolah menengah dan universiti, saya tidak tengok ke belakang lagi. Saya tak tengok bidang2lain, saya teruskan pembelajaran dalam bidang ini sehingga masuk ke UiTM,” katanya.
Ditanya darimana beliau mendapat sumber atau ilham untuk terus berkarya, akuinya, dia hanya merujuk bahan bacaan ketika itu melalui surat khabar, selain majalah Gila-Gila dan Fantasi.
Jelas Ali Nurazmal, di media berkenaan ada mempunyai informasi mengenai Malaysia yang memaparkan artis tempatan yang popular dalam bidang lukisan.
“Minat saya ketika semakin membuak-buak dan mula ikut cara beberapa artis termasuk menyertai pameran bagi menajamkan kebolehan saya dalam bidang ini.
“Waktu itu saya tinggal di Terengganu kemudian berpindah ke Kuala Lumpur dan peluang untuk menyertainya agak memihak kepada saya sebab ibu kota ini antara tempat rujuk dan menjadi tumpuan pengunjung.
“Saya mula di Central Market atau Pasar Seni. Di sini ramai pelukis dan mereka menjadi rujukan saya. Lalu, saya tengok melukis ini sebenarnya boleh hidup,” katanya.
Beliau turut mengakui, melukis tidak semudah yang orang ramai tengok kerana walaupun ia Nampak senang atau mudah, tetapi tidak sebenarnya.
Namun, katanya, ada juga kaedah tertentu untuk terkenal dalam dunia lukisan terutama bagi yang tidak mempunyai nama mencari jalan bagaimana untuk mencipta nama.
“Proses ini mengambil masa. Walaupun ada sesetengah pelukis ambil masa singkat, ada juga yang ambil masa lama untuk dikenali.
“Untuk itu, kita kena ikuti proses seperti pameran. Masuk pameran secara berkumpulan dan apa saja pilihan atau peluang yang ada termasuk pertandingan,” katanya.
Ditanya apakah antara kriteria khas seseorang seniman seperti pelukis mesti ada, beliau menjawab, sikap sensitif kepada keadaan sekeliling umpamanya politik, masyarakat dan mentaliti.
Jelas beliau lagi, sesetengah artis bukan pelukis yang bagus dari segi berkata-kata, tetapi untuk menterjemahkan kata-kata itu sebagai pilihan ialah dengan melukis.
Bagaimana pula untuk terus hidup sebagai pelukis?
“Kita ada banyak pilihan seperti buka galeri dan sebagainya. Tahun 2024 ini banyak peluang untuk artis tonjolkan diri seperti menjual karya kepada orang ramai melalui galeri.
“Tetapi, ada juga yang tidak guna galeri, mereka guna individu seperti orang itu datang ketempatnya untuk membeli karya mereka.
“Dari segi harga, kalau sesebuah lukisan dijual sekitar RM20,000 hingga RM30,000 ia bukan suatu yang pelik, kerana lukisan yang mahal agak susah untuk dihasilkan disebabkan materialnya yang agak tinggi.
Apa pentingnya seni lukis pada sesebuah negara?
“Kita kena tengok pada sejarah dunia khususnya. Contoh, lukisan Monalisa. Sebut lukisan Monalisa semua dunia tahu, ia merujuk kepada apa sebenarnya?
“Jadi, muzium atau negara yang ada lukisan itu menjadikannya sebagai tarikan dari segi pelancongan. Pelancong pergi ke situ semata-mata nak tengok lukisan Monalisa hingga sanggup beratur panjang.
“Nak katakan seni itu penting pada sesebuah negara itu? Tidak. Buktinya ada pada lukisan Monalisa,” kata Ali Nurazmal. – MalayaDaily