KUALA LUMPUR, 24 Mac 2024 – Pempengaruh media sosial, Khairul Aming memperkukuhkan lagi reputasinya apabila berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records bagi ‘nilai jualan RM1 juta terpantas melalui penstriman langsung TikTok Shop’.
Kejayaan itu dicapai melalui produk Dendeng Nyet Berapi yang mencecah nilai jualan RM1 juta dalam masa 3 minit 28 saat, baru-baru ini.
Khairul berkata, kejayaan ini bukan diraih dalam waktu yang singkat tetapi datang dengan pengorbanan untuk tempoh yang lama.
“Bila saya dapat tahu daripada TikTok Shop yang kejayaan kami menjual 80,000 dendeng adalah terpantas di TikTok Shop Malaysia dan sekaligus mendapat penghargaan Malaysia Book of Records, ia sebenarnya satu pencapaian yang luar biasa.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak dengan kemenangan ini. Ini hasil berkat usaha pasukan dan komuniti yang tanpa lelah menyokong saya,” katanya ketika menerima penghargaan Malaysia Book of Records di Central Market, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan ini tidak akan menjadi tanda noktah dalam meneruskan kerjayanya terutamanya bidang perniagaan mahupun sebagai seorang pembikin konten.
“Selepas ini, kita dalam fasa untuk kembangkan lagi produksi kilang dengan harapan kita boleh tambah kilang yang ketiga khususnya untuk Dendeng Nyet Berapi.
“Kita juga ada siri baru yang nak dilancarkan selepas raya dimana kita akan berpindah ke content travelling pula dan itu belum kita umumkan kepada orang ramai lagi, jadi ini adalah rahsia.
Dalam masa yang sama, usahawan yang terkenal dengan 30 hari 30 resipi itu turut memaklumkan akan melancarkan siri ‘content travelling’ selepas hari raya.
Usahawan tersebut turut berharap kejayaannya ini dapat dijadikan contoh kepada peniaga-peniaga di luar sana untuk menceburi bidang perniagaan.
“Ia sebenarnya satu loncatan baru, yang kita boleh buktikan sekarang ini, kalau nak jual produk secara talian pun tidak akan menjadi satu masalah. Sekarang ini pun kita dah tolong banyak jual produk-produk daripada Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME). Ada produk seperti ikan bilis, kuih bangkit dan macam-macam lagi.
“Saya nak ajak orang ramai untuk berniaga sekali dan sama-sama kita naikkan ekonomi setempat.” – Awani