TERKINI

Tun M Tidak Akan Bertanding PRN, Fokus Sokong Gerakan Melayu

Foto malayadaily.com

SEPANG, 28 Jun 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Sebaliknya, beliau akan terus aktif memberi sokongan kepada gerakan orang Melayu yang ingin mendapatkan hak mereka di negara ini.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi saya akan aktif menyokong gerakan Melayu yang mahukan hak mereka di negara ini. Mereka takut negara ini menjadi negara orang lain dan tidak menjadi Tanah Melayu.

“Tetapi negara ini menjadi negara pelbagai bangsa dan semua orang boleh meminggirkan Melayu dan orang Melayu akan terus jadi miskin dan miskin. Itu objektif saya, bukan untuk jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Mengenai pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tun menjelaskan beliau akan bertemu Ahli Parlimen Pagoh itu untuk menjelaskan mengenai Proklamasi Orang Melayu.

“Saya memang nak bertemu dengan dia untuk menerangkan mengenai orang Melayu keseluruhannya dan bukan untuk menyokong sesiapa.

“Orang Melayu melihat mereka sudah hilang hak mereka di negara mereka sendiri, dan mereka akan terus terkesan kalau tidak mentadbir negara ini,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp