TERKINI

Sukan SEA 2023: Pencapaian Kontinjen Negara Hari Keenam Mengecewakan

Kedudukan Terkini Sukan Sea 2023 – Grafik Bernama

PHNOM PENH, 12 Mei 2023 – Pencapaian kontinjen kebangsaan selepas berakhir hari keenam temasya Sukan SEA 2023 mengecewakan selepas hanya meraih tiga pingat emas pada Khamis.

Pungutan tiga pingat emas itu agak membimbangkan apabila kem negara kekal berada di kedudukan ketujuh dengan berbaki enam hari lagi sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai pada 17 Mei ini.

Pada Rabu, kem negara mencatat prestasi membanggakan apabila merangkul enam pingat emas, yang merupakan pencapaian pungutan pingat emas terbaik seharian,

Selepas tamat saingan semalam, Malaysia meraih keseluruhan 24 pingat emas, 31 perak dan 49 gangsa.

Beberapa acara yang diharapkan dapat menghadiahkan pingat emas, bagaimanapun gagal dicapai antaranya ping pong dan badminton.

Skuad badminton negara sekali lagi gagal membawa pulang emas selepas tewas 1-3 kepada musuh ketat, Indonesia dan terpaksa akur dengan pingat perak dalam pusingan akhir berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 di sini semalam.

Skuad ping pong wanita yang membuat kejutan mara ke pentas final selepas 30 tahun, gagal melakar sejarah meraih pingat emas pertama dalam acara berpasukan pada temasya dwitahunan itu apabila tumpas kepada Thailand 0-3 pada perlawanan akhir.

Kem badminton turut menerima nasib yang sama apabila tewas 1-3 kepada musuh tradisi, Indonesia dalam final berpasukan lelaki.

Selepas berakhir saingan semalam, kedudukan tiga teratas dalam carta pungutan pingat kekal dengan Vietnam mendahului setelah meraih 57 pingat emas, 56 perak dan 70 gangsa, diikuti tuan rumah Kemboja 56-44-55 manakala Thailand di tempat ketiga dengan kutipan 54-39-58. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp