TERKINI

Sasaran 35 Peratus Pekerja Berkemahiran Tinggi Akan Terkesan Jika 300 Ribu Lepasan SPM Tidak Sambung Belajar

Gambar hiasan – foto Utusan Malaysia

MELAKA, 21 Julai 2023 – Sasaran kerajaan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, akan terkesan jika 300 ribu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini tidak menyambung pengajian mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata kebanyakan lepasan SPM berkenaan lebih berminat untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig atau e-hailing selain sektor pengilangan.

“Trend ini amat membimbangkan dan ia dijangka memberi kesan kepada sumber manusia negara pada masa depan. Sekarang ini, kita hanya berjaya mencapai sasaran sekitar 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kita bimbang tidak mampu menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang dengan jumlah tenaga mahir yang tidak mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan Tahun 2023 di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sekitar 300,000 pelajar lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun dan berkemungkinan memilih bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing.

Mustapha berkata pelajar lepasan SPM digalakkan untuk bekerja sambil belajar terutama melibatkan kursus jangka pendek bagi memastikan mereka memperoleh sekurang-kurangnya sijil kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk masa depan lebih terjamin.

Sehubungan itu, menurutnya kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Manusia giat mempromosikan TVET dalam kalangan pelajar sekolah bagi menarik minat mereka menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp