TERKINI

Najib mahu dokumentari ‘Man On The Run’ henti tayang di Netflix

KUALA LUMPUR, 9 jan 2024 – Najib Razak menerusi peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah memohon pihak pendakwaan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan perkhidmatan penstriman Netflix agar mengeluarkan dokumentari ‘Man On The Run’ yang sedang ditayangkan di Malaysia ketika ini.

Dokumentari Man on the Run diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim mengisahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan kepada orang ramai bermula 19 Oktober 2023.

Dalam dokumentari itu, ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan beliau dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown; dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Berita Harian online melaporkan, menerusi semakan setakat jam 4 petang semalam, dokumentari itu berada di tangga keempat dalam carta ‘10 Filem Top Di Malaysia Hari Ini’ di Netflix.

Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya.

Hal ini kerana perbicaraan mengenai kes 1MDB masih sedang berjalan, selain daripada pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.

Tambah beliau, apa yang lebih serius mengenai perkara itu adalah Tommy dalam dokumentari terbabit dikatakan turut membuat kesimpulan sendiri berhubung kes berkenaan di luar mahkamah.

Dalam pada itu, peguam bela tersebut juga menzahirkan perasaan terkejut selepas mendapati pegawai penyiasat tidak tahu mengenai dokumentari terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, beliau baru sahaja mengetahui mengenai dokumentari itu dan perlu menontonnya terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada Peguam Negara bagi mendapatkan arahan seterusnya.

Jelas Ahmad Akram, pihak pembelaan juga perlu menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan perkara tersebut.

Susulan itu, Muhammad Shafee memaklumkan beliau akan menulis surat kepada kedua-dua agensi berkenaan secepat mungkin.

Ini termasuk memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap bekas Peguam Negara selain tindakan saman terhadap Clare Rewcastle-Brown.

Dokumentari yang mula ditayangkan pada 19 Oktober 2023 lalu mengisahkan mengenai skandal 1MDB melibatkan Najib Razak termasuklah memaparkan temu bual bersama Anwar Ibrahim. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp