TERKINI

Pesakit Diabetes Perlu Jaga Pemakanan Ketika Ramadan

foto mstar

Berlapar dan menahan dahaga sehingga 12 hingga 15 jam adalah sinonim dengan amalan berpuasa di bulan Ramadan iaitu Rukun Islam ketiga, yang wajib dilaksanakan bagi setiap penganut agama Islam.

Bagaimanapun, mereka yang mempunyai masalah paras gula tinggi dalam darah dan Penyakit Refluks Gastroesophageal (GERD), seperti diabetes (kencing manis) dan gastrik mungkin berasa sukar untuk menjalani ibadah ini kerana mereka perlu makan selang masa yang tetap.

Oleh yang demikian, apakah individu yang menghidap diabetes dan GERD boleh berpuasa?

Pakar Perunding Endokrinologi dan Diabetes Hospital Pakar KPJ Damansara 2 , Dr Sharifah Faradila Wan Muhammad Hatta berkata, pesakit yang mempunyai masalah kesihatan terutama diabetes boleh dikecualikan daripada berpuasa.

“Bagaimanapun, ramai orang Islam yang menghidap diabetes berasa komited dan bertegas mahu berpuasa apabila tiba bulan Ramadan. Mereka ini dinasihatkan supaya mengambil pandangan doktor mereka dan berlatih puasa sebelum Ramadan.

“Di luar waktu berpuasa, mereka yang berpuasa mungkin perlu berhati-hati memilih makanan dan minuman untuk sahur dan iftar (berbuka puasa). Ini bagi memastikan paras gula dalam darah terkawal dan mereka juga perlu mengambil vitamin dan nutrien,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

JENIS DIABETES

Menurut Dr Sharifah Faradila, secara purata di Malaysia, seorang daripada lima orang dewasa menghidap diabetes.

Beliau menjelaskan, diabetes mempunyai tiga jenis iaitu jenis 1, jenis 2, dan gestational diabetes, yang berlaku dalam kalangan sesetengah ibu mengandung.

“Jenis 1 adalah keadaan kronik, lazimnya didiagnos dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mana pankreas tidak mampu menghasilkan insulin atau hanya boleh menghasilkan jumlah yang terhad.

“Jenis 2 adalah diabetes paling biasa dalam kalangan rakyat Malaysia dengan 90 peratus pesakit berusia 18 hingga lebih 90 tahun. Ini berlaku apabila tubuh resistensi insulin atau tidak boleh menghasilkan insulin yang mencukupi.

“Sementara itu, jenis 3 iaitu gestational diabetes berlaku apabila tubuh tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi ketika seseorang wanita hamil,” katanya.

Insulin, tambahnya adalah hormon penting dihasilkan oleh pankreas yang membantu tubuh manusia menyerap glukos iaitu sumber utama tenaga tubuh manusia.

“Tanpa insulin, tahap glukos dalam tubuh boleh meningkat tinggi dan menyebabkan isu jangka pendek seperti dehidrasi, kehilangan berat badan dan ketoacidosis, yang akan juga merosakkan organ penting dalam jangka masa panjang,” katanya.

RISIKO PESAKIT DIABETES SEMASA BERPUASA

Secara puratanya, orang Islam berpuasa selama 13 jam sehari dalam bulan Ramadan dan menurut Dr Sharifah Faradila, keadaan itu akan menurunkan pengambilan makanan dan meningkatkan risiko hipoglikemia.

Beliau menjelaskan, hipoglikemia adalah keadaan yang berbahaya, yang mana paras glukos menjunam bawah paras normal iaitu kurang daripada 4 mmoI/L (millimoles per litre) dan pesakit Jenis 1 dan Jenis 2 diabetes berisiko tinggi ditimpa keadaan ini.

“Mereka yang menghidap diabetes perlu segera berbuka puasa sekiranya paras glukos jatuh bawah 4 m mol/L, dengan mengambil sebanyak 15-20g karbohidrat, seperti jus buah-buahan, 4-5 jelly babies, diikuti dengan makanan berkanji seperti sandwic, ” katanya.

Dr Sharifah Faradila menambah, selepas berbuka puasa, penghidap diabetes juga berisiko mengalami hiperglikemia, keadaan paras glukos dalam darah meningkat dengan cepat kepada lebih 10 mmol/L atau lebih.

“Keadaan ini berlaku sekiranya anda tidak mengambil ubat yang diarahkan oleh doktor atau mengambil banyak karbohidrat, makanan bergula atau mereka tidak aktif secara fizikal seperti lazimnya. Paras gula yang tinggi dalam darah akan meningatkan risiko dehidrasi, boleh menyebabkan pening kepala dan letih,” katanya.

Menurut Dr Sharifah Faradila, pesakit diabetes disyorkan memeriksa paras gula dalam darah mereka secara kerap sepanjang hari sekiranya mereka memilih untuk berpuasa dalam bulan Ramadan.

“Ini terutamanya untuk pesakit yang memerlukan insulin, disyorkan periksa paras gula sekurang-kurangnya enam kali sehari, iaitu sebelum bersahur, dua (2) jam selepas bersahur, pada pukul 12:00 tengahari , sebelum berbuka puasa, dua (2) jam selepas berbuka dan sebelum tidur.

“Sekiranya ada gejala hipoglikemia atau hiperglikemia (paras gula dalam darah yang rendah atau tinggi), pesakit disyor berbuka puasa untuk menjadikan paras gula dalam darah kembali normal dan untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk,” katanya.

MENGAMBIL UBAT KETIKA BERPUASA

Dr Sharifah Faradila menasihatkan pesakit yang mengambil insulin perlu diarah untuk mengawal sendiri paras glukos dalam darah dan membuat sendiri pindaan dos insulin berdasarkan sasaran glukos sebelum masuk bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, pesakit yang mengambil premixed insulin dua kali sehari perlu mengurangkan dos sebelum sahur sebanyak 25 hingga 50 peratus dan untuk dos petang normal ketika berbuka puasa.

Selain daripada itu, Dr Sharifah Faradila berkata, pesakit diabetes perlu memastikan mengamalkan diet yang sihat dan seimbang sepanjang bulan Ramadan.

Beliau menasihatkan mereka mengambil makanan yang rendah Indeks Glisemik (GI) dan makanan tinggi kandungan serat yang secara perlahan melepaskan tenaga sebelum dan selepas berpuasa, seperti beras perang, kekacang dan roti gandum.

“Mereka tak boleh tinggalkan sahur dan bersahur selewat makan kerana selepas sahur, perlu menunggu 13 jam untuk berbuka puasa.

“Cuba amalkan makanan seimbang setiap sahur dan berbuka puasa, iaitu ‘suku-suku separuh’iaitu lebih sayuran hijau, 20 hingga 30 peratus protin dan karbohidrat.

“Cuba minum banyak air kosong dan elakkan minuman manis sewaktu sahur dan berbuka puasa bagi mengelakkan dehidrasi. Makan sekeping kecil buah-buahan atau kurma untuk meningkatkan paras glukos dalam darah ke paras yang selamat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital Pakar KPJ Damansara 2, Dr Jaideep Singh a/l Awtar Singh berkata, masalah sistem penghadaman yang paling biasa dialami semasa bulan Ramadan adalah gastrik dan GERD.

“Ini disebabkan tempoh berpuasa yang panjang dan kebanyakan yang mengalaminya adalah mereka yang sudah mempunyai masaalah gastrik.

“Mengambil makanan berlemak yang banyak serta makanan berempah sewaktu berbuka puasa akan memburukkan lagi gejala ini, ” katanya.

Menurut beliau, masalah ini boleh diatasi dengan minum air yang mencukupi untuk hidrasi, makan secara sihat dalam jumlah sedikit dan kerap, elakkan merokok dan ambil ubat gastrik yang ditetapkan.

“Jangan ambil minuman bergas kerana ia mengandungi banyak gula, sementara penapaian gas mungkin menyebabkan kembung perut.

“Elak daripada makan banyak kerana makan dengan banyak secara tiba-tiba boleh menyebabkan perut sakit dan refluks asid yang teruk.

“Juga cuba jangan tidur dengan perut masih penuh. Beri masa yang mencukupi untuk makanan yang belum dihadam masuk ke dalam perut dan usus. Elakkan mengambil cili dan rempah yang berlebihan serta makanan berminyak dan makanan ringan, ” tambahnya. – sumber Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp