KUALA LUMPUR, 16 Nov 2023 – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjalankan kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka.
Menurut syarikat minyak nasional itu kaji selidik yang sedang dijalankan itu telah dimulakan pada Oktober 2023 dan dijangka tamat pada akhir Disember tahun ini.
Kaji selidik itu akan meningkatkan ketersediaan kumpulan data seismik yang lebih besar, membawa kepada kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menemui potensi hidrokarbon, yang seterusnya, dijangka menarik bakal pelabur dalam pusingan bidaan masa depan, jelas Petronas dalam kenyataan pada Rabu.
Petronas memaklumkan kaji selidik itu meliputi kawasan bersaiz lebih 38,000 kilometer persegi, bertujuan untuk memperoleh kira-kira 8,000 kilometer data seismik 2D baharu bagi menyediakan data seismik berkualiti tinggi untuk menjangkakan sasaran pratertiari.
“Petronas terus melabur dalam pengayaan data untuk lembangan Malaysia, seperti Lembangan Langkasuka yang baru.
“Inisiatif seperti kaji selidik seismik berbilang pelanggan ini dijangka menarik minat penerokaan untuk menyokong strategi pertumbuhan pengeluaran negara,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Cari Gali Sumber MPM, Azmir Zamri berkata kajian terbaru Lembangan Langkasuka menunjukkan potensi hidrokarbon berada dalam pembentukan pratertiari lebih dalam yang belum teruji, yang mendorong kaji selidik seismik itu.
“Penyelidikan cari gali pertama dijangka dalam tiga tahun akan datang untuk menguji keadaan geologi baharu yang menarik ini,” katanya.
Petronas, melalui MPM, adalah penjaga sumber petroleum di Malaysia. Berlandaskan mandat itu, MPM menguruskan pengaturan petroleum dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti cari gali dan pengeluaran huluan di negara ini.
Maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan dalam sektor huluan Malaysia boleh didapati di https://www.petronas.com/mpm/. – Bernama