TERKINI

320 Ribu Pencarum Mohon Pengeluaran KWSP Bersasar

foto selangorkini

PETALING JAYA, 15 April 2023 – Seramai 320,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup memohon kerajaan mempertimbang tuntutan pengeluaran secara bersasar.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), Shashi Kumar Shanmugam berkata, memorandum telah dihantar untuk memohon sokongan KWSP dalam usaha merayu kepada  kerajaan agar meluluskan tuntutan tersebut dengan kadar segera.

“Rakyat sudah terlalu tertekan hingga ada yang mengambil jalan singkat seperti meminjam wang dengan ceti-ceti haram, melakukan jenayah curi dan sebagainya demi kelangsungan hidup.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis dan New Zealand turut tidak membenarkan pengeluaran wang persaraan, namun kos sara hidup mereka rendah bukan macam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan memorandum dan petisyen bantahan wang KWSP dicagarkan kepada pihak bank serta tuntutan pengeluaran wang KWSP diluluskan secara bersasar, di lobi KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, satu kaji selidik dilakukan dan didapati lebih daripada 75 peratus pencarum mempunyai baki lebih RM10,000 dan majoriti pencarum adalah berusia lebih 35 tahun.

“Empat usul utama yang dibentangkan adalah surirumah, ibu tunggal dan bapa tunggal yang lama tidak mencarum melebihi tiga tahun dan mempunyai pekerjaan yang tidak tetap dibenarkan mengeluarkan kesemua baki di akaun satu.

“Kedua, pencarum yang lama tidak mencarum dan memilih untuk berniaga atau bekerja sendiri melebihi tiga tahun dibenarkan mengeluarkan kesemua baki di akaun satu.

“Ketiga, pencarum yang aktif mencarum tidak melebihi caruman RM635 setiap bulan tidak termasuk caruman majikan dan mempunyai simpanan RM40,000 dan ke atas di dalam akaun  satu dibenarkan mengeluarkan 35 peratus daripada baki simpanannya.

“Keempat, pencarum yang aktif mencarum tidak melebihi caruman RM635 setiap bulan tidak termasuk caruman majikan dan mempunyai simpanan RM40,000 ke bawah di dalam akaun satu, dibenarkan keluar maksimum RM20,000 dan minimum RM3,000 daripada baki simpanannya.

“Pencarum memerlukan wang tersebut untuk menjelaskan hutang-hutang tertunggak, demi kelangsungan hidup, membina kehidupan semula dan menyelesaikan pelbagai lagi masalah yang sedang mereka hadapi,” katanya.

Azmi turut memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Perdana Menteri supaya terbuka hati beliau menolong rakyat dalam kesusahan. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp