TERKINI

46 peratus pelajar MRSM golongan B40 – Asyraf Wajdi

Gambar hiasan – foto Youtube

SHAH ALAM, 4 Jan 2024 – Sebanyak 46 peratus pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara adalah golongan berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah tersebut melibatkan pelajar di 55 buah MRSM sedia ada dengan 30 peratus golongan berpendapatan sederhana (M40) dan 24 peratus berpendapatan tinggi (T20).

“Data-data ini adalah yang terkini diperoleh. Bila ada orang kata, setiap minggu ketika melawat anak (di MRSM), ada bawa kereta BMW, Vellfire. Saya risau (kerana) mandat saya untuk pastikan anak-anak B40 diberikan tempat.

“Sebab itu saya minta daripada Bahagian Pendidikan Menengah (Kementerian Pendidikan Mara) senarai data dan inilah maklumat yang ada pada hari ini.

“Tetapi kena ingat, walaupun golongan M40 jangan lihat pendapatan mereka, ini pendapatan isi rumah, campur (pendapatan) ibu bapa. Kalau bergaji RM6,000 tetapi tinggal di Kuala Lumpur, anak enam orang, itu dah boleh dikategorikan sebagai B40,” katanya dalam program Wacana Sinar edisi 426 bertajuk ‘MRSM Untuk B40 Sahaja?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang sebagai panelis ialah bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli dan Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Mohd Fadzli Yusof manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, peruntukan yang disalurkan kerajaan kepada 55 MRSM seluruh negara adalah RM728 juta dengan RM108 juta dikhususkan untuk pembangunan seperti menambah baik program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelenggaraan sekolah, asrama dan sebagainya.

“Selebihnya iaitu RM620 juta pula diperuntukkan untuk pengurusan berkaitan guru. Ada lebih 3,000 guru MRSM dan semua perlu dilihat secara menyeluruh,” jelasnya.

Sementara itu mengenai kos seorang pelajar, Asyraf Wajdi berkata, sebanyak RM22,000 setahun diperlukan bagi menampung perbelanjaan seorang pelajar di MRSM.

Bagi golongan B40, beliau menjelaskan, kerajaan menyediakan skim Budi yang turut melibatkan kerjasama pelbagai sektor korporat termasuk Majlis Agama Islam negeri dan Pusat Zakat untuk memberi bantuan termasuk pengecualian yuran awal persekolahan, bantuan elaun setiap bulan dan pakaian sekolah percuma.

“Yuran MRSM murah, ia tidak dipanggil yuran tetapi caruman antara RM80 hingga RM100. Itupun kita akan pastikan kalau ada yang tak mampu bayar, tetap dapat masuk.

“Secara umum kalau tengok MRSM berbeza dengan sekolah biasa, ada tambahan aktiviti lain. Bila kata pendidikan holistik, bukan hanya tumpu pelajaran sahaja, mereka diberi kemahiran lain.

“Sebab itulah penting ada kelompok T20 kerana banyak program bersifat tambahan ditampung oleh mereka melalui muafakat yang bertindak seperti PIBG (Persatuan Ibu Bapa Guru). Kalau Mara disuruh tampung semua, kita tak akan mampu.,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp