KUALA LUMPUR, 12 Okt 2023 – Kira-kira 80 peratus pengguna mengadu tidak menerima bekalan gula bersubsidi di pasaran, menurut Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).
Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, situasi ini berlaku akibat faktor aktiviti kartel dan monopoli barangan keperluan pengguna.
“Gula biasa diberikan subsidi, yang dikatakan untuk golongan sasar, tetapi adakah sampai kepada golongan sasar?
“Lapan puluh peratus pengguna yang saya tanya di lapangan menyatakan, mereka tidak menerima subsidi tersebut. Hanya gula premium yang ada di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu mewujudkan inisiatif dan undang-undang khas bagi mengekang sebarang aktiviti monopoli dan kartel yang boleh menjejaskan jaminan bekalan barangan asas kepada pengguna.
Sementara itu, menyentuh mengenai harapan rakyat menerusi initipati Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan esok, Mohamad Yusrizal berkata, peningkatan pendapatan adalah perkara yang paling dikehendaki rakyat.
“Hasil daripada kajian yang kita tanya kepada ramai pengguna, apabila Belanjawan 2024 ini hendak diumumkan, apa yang diharapkan oleh rakyat adalah pertambahan pendapatan mereka.
“Itu yang paling penting sekali kerana paras pendapatan dan kenaikan harga barangan (tidak seimbang),” katanya lagi. – Awani