TERKINI

Ahli Bersatu Bkt Gantang desak Ahli Parlimen sokong Anwar, letak jawatan

Bersatu Bahagian Bukit Gantang – foto Kosmo Digital

BUKIT GANTANG, 29 Nov 2023 – Ahli Parti Bersatu Bukit Gantang mendesak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang susulan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan media, Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man berkata, tindakan wakil rakyat itu merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat, parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) serta sistem demokrasi negara.

“Kami ingin menegaskan Bersatu Bahagian Bukit Gantang menentang keras tindakan Syed Abu Husin memberi ‘sokongan tanpa had’ (blanket support) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen pembangkang, beliau sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan dengan jujur dan telus.

“Sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan harus berdasarkan kepentingan rakyat atas sesuatu isu, bukannya menyokong kedudukan Perdana Menteri dari blok kerajaan.

“Jika beliau begitu percaya sokongan ke atas Kerajaan Madani itu mendapat restu pengundi, maka beliau seharusnya meletak jawatan dan bertanding semula atas tiket Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ahmad Man, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang itu berkata, sistem demokrasi negara akan terjejas sekiranya semua ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan sama, hanya untuk mendapatkan kelebihan peruntukan.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini telah membuktikan bahawa sokongan rakyat masih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) walaupun mengetahui parti itu bukan sebahagian kerajaan.

“Kita harap majlis tertinggi parti tidak berdiam diri dalam isu ini dan kami minta beliau segera dipecat keluar.

“Tindakan sama juga perlu dilakukan ke atas empat lagi wakil rakyat Bersatu yang telah menyatakan sokongan awal kepada Perdana Menteri,” katanya.

Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Sebelum menyatakan sokongannya, beliau memohon kepada kerajaan perpaduan, peruntukan sebanyak RM30 juta melibatkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas, pembangunan ekonomi komuniti, kemudahan ameniti sosial, peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp