TERKINI

Ahmad Zahid Kemuka Representasi Mohon Gugurkan 47 Pertuduhan

Ahmad Zahid Hamidi – foto bernama

KUALA LUMPUR, 10 April 2023 – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, memohon Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, untuk menangguhkan prosiding hari ini sementara menunggu keputusan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun (berhubung representasi itu).

“Kami telah menulis surat representasi pada Januari dan kami telah menghantar kesinambungan dan representasi baharu dengan beberapa fakta dan bukti baharu berhubung pertuduhan itu kepada AGC pada Februari.

“Pendakwaan telah menjawab, mereka tidak mempunyai bantahan (untuk menangguhkan perbicaraan) bagi pihak mereka, memandangkan representasi itu mempunyai 200 halaman dan mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkannya,” katanya.

Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juga ringgit dana milik YAB. – sumber Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp