TANJONG MALIM, 6 April 2024 – PLUS Malaysia Berhad menambah baik laluan Smart Lane di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan 18 lokasi strategik bagi memastikan aliran trafik lancar bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata antaranya ialah menambah baik papan tanda pemberitahuan dan peringatan iaitu dari segi reka bentuk serta kuantiti.
“Kita juga ada papan tanda elektronik (VMS) dan memasang lampu hijau berkelip di atas papan tanda itu sebagai indikasi laluan Smart Lane sedang diaktifkan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi Smart Lane di antara Slim River – Sungkai di KM367.3 – KM354 (arah utara) dekat sini semalam.
Laluan Smart Lane diperkenalkan untuk menambah kapasiti lorong di laluan yang dikenal pasti, membantu menyuraikan kesesakan pada waktu puncak dan meningkatkan kelancaran perjalanan sepanjang lebuh raya.
Sementara itu, Mohd Yusuf berkata menjadi satu kesalahan jika mana-mana pihak menyalahgunakan lorong kecemasan kerana perkara itu tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
Justeru, Mohd Yusuf memohon kerjasama daripada kesemua pengguna lebuh raya supaya memberi laluan kepada mereka yang berada dalam kecemasan antaranya polis dan ambulans ketika menggunakan Smart Lane.
Selain itu, beliau turut menasihati pengguna lebuh raya itu supaya merancang perjalanan sebaik-baiknya dengan memilih tarikh dan masa sesuai untuk memulakan perjalanan masing-masing.
Pemandu juga dinasihat mempersiapkan diri sendiri untuk memandu lebih lama daripada biasa serta memastkan kad pembayaran mempunyai baki mencukupi.
Katanya, maklumat trafik boleh diperoleh dengan memuat turun Aplikasi PLUS, atau mengikuti akaun X@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, VMS di lokasi-lokasi terpilih dan talian PLUSLine 1800-88-0000.
PLUS sebelum ini menjangkakan sebanyak 2.1 juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya kendalian syarikat itu pada 5, 6, 8, 9, 12, 13 dan 14 April ini susulan cuti hari raya, berbanding 1.82 juta pada waktu puncak hari biasa.
Peningkatan pengguna lebuh raya itu juga susulan pemberian kemudahan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) selama dua hari pada 8 dan 9 April ini. – Bernama