TERKINI

Angka Kematian di Gaza Meningkat, Ribuan Wanita Hamil Tiada Akses Kesihatan

Kesan serangan di Gaza – foto Awani

GAZA, 13 Okt 2023 – Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan, sehingga semalam (Khamis) jumlah rakyat Palestin yang meninggal dunia di Gaza akibat peperangan ialah seramai 1,537 orang.

Jumlah berkenaan adalah termasuk 500 kanak-kanak dan 276 wanita yang terbunuh sejak Israel melancarkan serangan udara balas dendam pada hari Sabtu.

Dalam masa sama, kementerian berkenaan turut merekodkan 6,612 orang lain turut cedera di wilayah tersebut.

Sementara itu, Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) iaitu agensi kesihatan seksual dan reproduksi PBB berkata, ketika ini, terdapat 50,000 wanita hamil di Gaza yang tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan penting atau air bersih.

Dianggarkan seramai 5,500 wanita di antara mereka dijangka bersalin dalam beberapa bulan akan datang.

UNFPA menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan wanita dan gadis di Palestin selain serta trauma dan tekanan psikologi yang perlu dihadapi golongan itu.

Seorang pegawai UNFPA di Gaza berkata, matlamat mangsa peperangan khususnya kaum wanita yang hamil pada masa ini hanyalah untuk bernafas bagi meneruskan kehidupan.

Agensi antarabangsa itu juga memaklumkan, mereka sedang menyediakan bekalan untuk sedia dihantar ke lokasi peperangan pada bila-bila semasa sekiranya sekatan dibuka semula.

UNFPA turut menggesa pihak-pihak berkaitan lain agar mematuhi kewajipan yang digariskan di bawah undang-undang antarabangsa. – Awani/Agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp