TERKINI

Angka Rasuah RM 4.5 Trillion Tak Masuk Akal – ‘Keluar Sekejap’

Podcast Keluar Sekejap – Youtube

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2023 – Angka yang dilaporkan oleh EMIR Research yang membuat anggaran bahawa Malaysia kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan, disifatkan sebagai angka yang tidak masuk akal.

Dalam satu program podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin berkata angka itu tidak masuk akal kerana berdasarkan bajet, 80 peratus adalah yang melibatkan perbelanjaan operasi kita adalah emolumen.

“Saya nak bagi penjelasan paling mudah, hampir 80 peratus daripada perbelanjaan operasi kita adalah ‘log in item’ iaitu gaji.

Macam mana gaji boleh songlap?

“Tak masuk akal, 80 peratus perbelanjaan operasi kita adalah emolumen (gaji) pencen, log in item , bayar sewa, dari mana dapat jumlah berkenaan? Macam mana kamu boleh dapat angka ini? soal Khairy kepada kajian EMIR Research.

Dalam program yang sama, bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Shahril Hamdan pula berkata, angka yang diterbitkan EMIR Research itu jelas tidak masuk akal malah metodologi kajian yang diguna pakai juga tidak betul.

“Angka ini (RM4.5 trilion)tak masuk akal dan bukan kita nak perkecilkan rasuah, tidak. Tapi matematik itu salah, kita cuma perli matematik dia.

“Sekarang perbelanjaan bajet kerajaan sekitar RM300-350 bilion, kalau tahun 1997 mesti lagi kecil.

“Kalau RM4.5 trilion sepanjang 26 tahun hilang, ini bermakna secara puratanya RM173 bilion setiap tahun yang hilang. Takkanlah daripada RM300 bilion, RM173 bilion hilang. Tak masuk akal maksudnya setengah bajet kerajaan telah hilang,” bidas Shahril.

Baru-baru ini badan pemikir EMIR Research yang diketuai oleh Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, memaklumkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Malah kajian itu turut menjelaskan anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp