PUTRAJAYA, 28 Mac 2023 – Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim diberi tempoh tujuh hari untuk menarik balik fitnah terhadap diri, kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini sebentar tadi.
“Saya buat keputusan untuk tuntut supaya ditarik balik fitnah yang dilempar Dato Seri Anwar terhadap diri saya, saya beri masa tujuh hari untuk dia tarik balik dan lakukan beberapa acara untuk menunjuk bahawa dia tidak percaya apa yang disebutkan olehnya.
“Tetapi kalau dalam tujuh hari dia tak jawab balik, maka saya bebas untuk mengambil tindakan-tindakan yang lain, ujar Dr Mahathir.
Dalam sidang media tersebut Dr Mahathir menyatakan sungguhpun Anwar tidak menyebut namanya secara khusus namun dari laporan-laporan akhbar menunjukkan bahawa tuduhan ini dilempar terhadap diri beliau.
“Walaupun Anwar tak menyebut nama saya, tapi laporan dalam akhbar menunjuk bahawa orang ramai faham tuduhan ini dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbillion-billion ringgit, dan saya agih untuk saya untuk keluarga saya untuk anak saya dan sebagainya, dan saya adalah seorang ‘scoundrels’.
“Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia merupakan suatu fitnah melainkan dia (Anwar) boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbillion-billion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai, banyak tuduhan-tuduhan yang dibuat dalam ucapan ini, ujar Mahathir.
Dr Mahathir turut menambah bahawa dahulu Anwar berkata perkara yang sama, tetapi ia berbeza kerana dahulu dia bukan Perdana Menteri tetapi sekarang dia adalah Perdana Menteri. Sebagai Perdana Menteri dia mempunyai tanggungjawab dan tidak boleh membuat tuduhan tanpa bukti yang jelas. – malayadaily.com