TERKINI

Anwar Nafi Runding Isu Kawasan Cari Gali Minyak Dengan China

foto defence security asia

KUALA LUMPUR, 9 April 2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemimpin pembangkang bahawa kerajaan berunding dengan China berhubung isu pertikaian kawasan cari gali minyak di Laut China Selatan ketika lawatan rasmi beliau ke republik itu baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata tuduhan itu adalah tidak benar dan Petronas terus melaksanakan projek cari gali di Laut China Selatan.

“Kebetulan China tuntut kawasan tengah laut itu. Saya jawab kepada pimpinan China, saya katakan kami terpaksa teruskan projek itu kerana ia berada di kawasan kami.

“Lautan bawah bidang kuasa Malaysia, jadi kita teruskan. Dia kata dia pun tuntut, tak mengapa kita akan teruskan tetapi mereka (pembangkang) pusing kata saya runding sebab kononnya projek (cari gali) tak jalan,” katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor mengecam Anwar kerana dianggap cuai dalam membuat kenyataan berhubung isu Laut China Selatan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan Malaysia akan meneruskan pendekatan diplomatik dalam hubungannya dengan negara lain termasuk China demi memastikan Laut China Selatan kekal aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan.

Pendekatan ini selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan antaranya penyelesaian konflik secara aman serta mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan seperti dipersetujui oleh negara anggota ASEAN dan China pada 2002. – sumber Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp