SEREMBAN, 24 Julai 2023 – Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ menyifatkan Anwar Ibrahim adalah pengkhianat Melayu dan tidak boleh menjadi perdana menteri.
Beliau berkata demikian dalam satu ceramah ‘Jelajah Bicara Bangsa’ yang turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, di kawasan Dun Sikamat malam tadi.
Dalam ceramah tersebut beliau meminta maaf kerana tidak mempercayai kata-kata Tun Mahathir bahawa Anwar tidak layak menjadi perdana menteri.
“Tun kami minta maaf, selama ni Tun (Mahathir Mohamad) cakap kami tak percaya, mungkin kami samar-samar Tun. Tapi hari ini benarlah apa yang Tun kata, Anwar tak boleh jadi perdana menteri. Dia tak boleh, dia pemimpin yang zalim, dia pemimpin yang berdendam, dan dia juga adalah pengkhianat Melayu.
“Jadi saya nak bagi tahu dengan semua ini perjuangan akhir kita. Perjuangan yang sangat berat dan sangat berliku, sangat-sangat berliku. Tapi kalau kita gagal kali ini, habis.
“Dan sebab itulah hari ini saya kembali daripada medan perjuangan ini kerana Tun Dr Mahathir (Mohamad), kerana ayahanda Tun. Sebab apa, sebab saya nampak kita dah tak ada orang dah, dah tak ada orang dah yang ada hari ini ayahanda Tun saja yang boleh satukan kita. Ujar Azri.
Dalam ucapan tersebut, Azri juga jika bercakap tentang parti (politik), ia takkan menyelesaikan masalah hingga bila-bila.
“Sebab apa, kalau kita bercakap pasal parti, takkan selesai sampai bila-bila. Sebab tu hari ini kita kena menyatukan perpaduan bangsa ini melangkaui politik kepartian. Yang penting adalah kuasa untuk kita ni. Melalui kotak pilihanraya.
“Saya ada baca buku Tun Dr Mahathir, buku tahun 76 tak silap saya; menghadapi cabaran. Saya terkejut dalam buku tu Tun Mahathir kata “UMNO alat politik kebangsaan”, bermakna parti ini adalah ‘alat’, ‘Tools’ semata-mata untuk kita mencapai matlamat.
“Sebab itu bila hari ini UMNO bersama dengan DAP, tak adalah, ada (alat)?
“Yang nampak, PN (Perikatan Nasional), ini bukan nak ‘defend’ (pertahan) parti politik. Tapi kita nak gunakan PN sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Sebab apa? Sebab negara ini telah pun jatuh di tangan yang salah. – malayadaily.com