TERKINI

Anwar sasar anak Tun M untuk balas dendam – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 20 Jan 2024 – Anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamad kini menjadi sasaran Anwar Ibrahim untuk membalas dendam pada mantan Perdana Menteri itu.

Hakikatnya, kata Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, selama ini Anwar menipu dan memfitnah kononnya mempunyai berkotak-kotak bukti salah laku Tun Dr. Mahathir.

Katanya, apabila Tun Dr. Mahathir menyaman fitnah ke atas Anwar pun sehingga kini PMX itu gagal membuktikan segala tuduhan palsunya sejak dari tahun 1998.

“Inilah sikap buruk Anwar seorang ‘kaki penipu’ dan ‘pendusta’ yang kini cuba untuk menutup malunya memfitnah Tun Dr. Mahathir secara tidak berasas.

“Anwar juga cuba mengalih pandangan dengan mengarahkan badan penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM bagi menekan keluarga Tun Dr. Mahathir.

“Apa yang dilakukannya adalah anak-anak Tun Dr. Mahathir menjadi mangsa keadaan yang tidak adil sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apa yang mengecewakan rakyat Malaysia hari ini apabila badan penguatkuasaan undang-undang dijadikan sebagai instrumen untuk menindas musuh politik Anwar.

Ujar Khairuddin, seandainya berlaku pertukaran kerajaan di masa hadapan semua penjawat awam yang terlibat dengan konspirasi salahguna kuasa ini harus diambil tindakan tegas.

Ini kerana, mereka tidak amanah dan tidak berpegang kepada etika kerja dan SOP perkhidmatan awam yang sepatutnya menjalankan tugas secara amanah, adil dan saksama kepada seluruh rakyat.

“Anwar jangan ingat dia boleh menongkat langit selamanya kerana sesungguhnya dia tidak boleh melawan ketentuan Allah.

“Allah tidak pernah mungkir janji dan Insya-Allah akan menurunkan malapetaka kepada golongan yang Nabi Muhammad tidak mengaku umat.

“Puak ini bakal menimpa balasan cukup berat dari Allah dan hanya masa ketika saja bakal menentukannya,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp