TERKINI

Ayob Khan Kini Timbalan Ketua Polis Negara

Ayob Khan menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara – Foto Portal Berita RTM.

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2023 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelantikan Ayob Khan bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Ayob Khan.

“Ayob Khan berumur 57 tahun, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

“Beliau mula menjalani latihan (bersama PDRM) pada 1991 dan memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

“Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Saifuddin berkata, Ayob Khan berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada tahun 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

“Pada tahun 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp