BANDAR BARU BANGI, 4 Mei 2023 – Bandar pintar dan lestari di Malaysia belum lagi dapat direalisasikan sepenuh kerana tiada penguatkuasaan dan iltizam politik.
Perkara ini dibangkitkan oleh Prof. Dr. Sawal Hamid Md. Ali dalam satu wawancara bersama malayadaily, baru-baru ini.
“Malaysia telah mempunyai pelan dan dasar untuk bandar pintar dan lestari lebih dari 10 tahun yang lalu tetapi dari segi perlaksanaannya masih lagi tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Pada pandangan saya, kekangan atau cabaran dalam merealisasikan agenda bandar pintar dan lestari negara adalah dari segi tiada penguatkuasaan (enforcement) dan juga keupayaan politik (political will).
Sawal yang juga seorang pakar dalam bidang Microelectronic and Embedded System Design di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata keperluan untuk menerapkan pembangunan bandar pintar dan lestari di dalam pembangunan bandar adalah kerana ianya berkait dengan proses pembandaran (urbanization) sesuatu kawasan.
“Di Malaysia, walaupun terdapat beberapa usaha untuk pembangunan bandar-bandar pintar dan lestari ini tetapi ianya tidak menyeluruh dan masih menghadapi beberapa cabaran utama yang menjadikan pembangunan bandar itu tidak kondusif dan tidak lestari.
“Adalah dianggarkan bahawa 82% rakyat Malaysia akan duduk di bandar menjelang 2030. Urbanization ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielak sejajar dengan arus perubahan zaman. Proses urbanisasi bermaksud semakin banyak kawasan akan menjadi bandar termasuklah kawasan-kawasan kampung.
Menurut beliau lagi, apabila proses urbanisasi ini berlaku, ia akan membawa kepada peningkatan populasi, peningkatan pencemaran, peningkatan kesesakan, kesibukan, peningkatan jenayah dan lain-lain yang sekiranya tidak ditangani dan dikawal ianya akan menjadikan sesuatu bandar itu tidak selesa untuk dihuni.
“Sebenarnya Malaysia juga telah membangunkan dasar pembangunan bandar pintar dan lestari lebih 10 tahun dahulul dimana bandar Putrajaya dan Cyberjaya merupakan bandar yang akan digunakan sebagai model bandar yang pintar dan lestari.
“Selain daripada itu, Malaysia juga telah menyediakan satu framework yang dinamakan Low Carbon City Framework (LCCF) dimana salah satu tujuannya adalah untuk menggalakkan kepada pembangunan bandar lestari. Ujarnya. – malayadaily.com