
KUALA LUMPUR, 24 Jan 25 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menempelak kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang dikatakan mahu menjaga kebajikan wartawan.
Dalam satu entri di laman sosial facebook, beliau berkata bahawa sukar baginya untuk mempercayai kata-kata Fahmi dan menyifatkan kerajaan lebih menjaga kroni yang memiliki media tetapi pada masa yang sama nasib petugas media tidak terbela.
“Apa yang saya lihat ialah kerajaan ini lebih menjaga kroni mahakaya yang memiliki media, sedangkan nasib pengamal media dibiar tidak terbela.
“Dalam sesi parlimen lepas, saya telah membawa ke perhatian Fahmi mengenai pemilik The Vibes, Getaran dan TMI yang bebas berjalan dengan mewah ke luar negara, sedangkan wartawan yang pernah bekerja dengannya tidak dibayar gaji, KWSP, dan Perkeso. Bukan sebulan dua, tapi tunggakan berbulan-bulan. Katanya.
Menurut Wan Saiful, Fahmi berjanji bahawa beliau akan menyelesaikan masalah tersebut.
“Tapi rupa-rupanya janji Fahmi adalah janji kosong. Kebajikan para wartawan yang terbabit terus tidak dihiraukan. Dan pemilik yang mahakaya terus bergembira.
“Biasanya pemilik syarikat yang tidak membayar caruman KWSP dan Perkeso akan disekat passport dan tidak boleh berjalan ke luar negara.
“Tapi kroni mahakaya tidak pula disekat, malahan ada yang maklumkan kepada saya bahawa dia bercuti mewah main salji dengan keluarga. Untungnya mahakaya dapat layanan istimewa dan terlepas tindakan. Kata beliau.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mempersoalkan adakah terdapat layanan istimewa kepada kroni manakala sekatan hanya dikenakan kepada rakyat biasa.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kementerian akan terus mengutamakan kebajikan dan keperluan pengamal media, kata .
Beliau berkata antara lain kementerian itu menyediakan sumbangan dan bantuan, serta keperluan lain kepada pengamal media yang berhadapan pelbagai kesukaran.
“Kita bantu semua wartawan sambilan atau stringer untuk mendapatkan perlindungan yang dikendalikan Bernama…Kita akan bantu apa yang patut,” katanya pada sidang media selepas bersarapan pagi bersama warga Kelab Media Kelantan, di sini, hari ini.
Oktober tahun lalu, NUJM dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa majikan mewakili media berkenaan segera melunaskan tunggakan gaji sekumpulan wartawan bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju masa depan masing-masing.
Gesaan sama turut dibuat Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini yang menyifatkan tindakan tidak membayar gaji pengamal media selama beberapa bulan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. – malayadaily.com