TERKINI

Tak wujud diskriminasi etnik yang sistemik di Malaysia, kata Prof Teo Kok Seong

Teo Kok Seong – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 21 Feb 2024 – Tokoh Akademik terkenal, Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong menegaskan bahawa tidak wujud diskriminasi secara sistemik dalam negara ini, seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menurut beliau, tanggapan persepsi daripada kelompok bukan Melayu bahawa wujudnya diskriminasi etnik di negara ini, merupakan naratif yang selalu diangkat setelah dibawa oleh para pemimpin etnik Cina.

“Pada saya ia tidak wujud secara sistemik maknanya tidak ada dalam dasar-dasar awam kita, langsung tidak ada.

“Tetapi masyarakat bukan Melayu khususnya Cina selalu mengguna pakai perkara 153 itu, ramai yang menggunakan hak istimewa orang Melayu sedangkan perkataan ‘hak’ itu tidak wujud pun, yang betul-betul wujud dalam perlembagaan ialah kedudukan istimewa orang Melayu.

Tambah beliau, setelah penubuhan Malaysia, maka ditambah anak negeri Sabah dan peribumi Sarawak.

“Orang Cina selalu mengguna pakai perkara 153 itu sebagai bukti bahawa adanya diskriminasi etnik secara sistemik, maknanya ada dalam sistem-sistem negara itu tetapi kalau kita membaca perkara 153 itu dengan amat hemat, dengan penuh teliti bahawa pada perenggan yang sama, yang menjamin hak ataupun kedudukan istimewa orang Melayu dan juga Peribumi Sabah dan Sarawak itu.

“Pada perenggan itu juga, ayat seterusnya diberi jaminan bahawa yang di Pertuan Agong, baginda sendiri akan melindungi kepentingan kepentingan sah yang bukan Melayu termasuk harta benda mereka segala apa yang ada pada mereka.

“Jadi tak betullah kalau dikatakan adanya diskriminasi etnik yang wujud secara sistemik yang ada dalam dasar-dasar negara dan diinstitusikan.

Dalam satu wawancara, Teo Kok Seong memberitahu malayadaily bahawa amat malang apabila naratif ini disambut oleh orang Melayu.

“Malang sekalilah orang Melayu tu adalah ahli legislatif negara, Ahli Parlimen yang semacam meminta negara ini mengadakan ataupun mewujudkan menggubal akta anti diskriminasi.

“Jadi apabila permohonan begitu datang daripada orang Melayu yang nak bela orang bukan Melayu, ia seolah-olah berlakulah benda (diskriminasi) ni sedangkan bagi sayalah ia tidak pun berlaku.

Tambah beliau, jika perkara tersebut berlaku maka imej negara sudah tentu tercalar di persada antarabangsa.

“Maknanya ada orang Melayu yang prihatin dan mendapati persepsi orang Cina itu betul sehingga mendesak, kalau saya boleh guna perkataan itulah mendesak kerajaan sekarang ini dan beliau pun dari kumpulan kerajaan sekarang supaya digubal akta anti diskrimasi.

Wawancara tersebut boleh ditonton disini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp