TERKINI

Bantuan Tunai Kerajaan Madani Dipersoal

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2023 – Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian bantuan tunai khas kepada 2.3 juta penjawat awam dan pesara kakitangan awam, ditengah-tengah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) menimbulkan persoalan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nyata tidak senang dengan tindakan pimpinan kerajaan perpaduan yang disertainya, disamping 18 parti politik lain.

Ahli Parlimen Muar itu malah mempersoalkan pemberian bantuan khas tersebut, yang menurutnya tindakan itu pernah dibantah sebelum Anwar menjadi perdana menteri.

“Dulu bila pihak lawan buat perkara yang sama, ‘Cash is King’, ‘Kerajaan BN Tabur ‘Gula-Gula’.

“Sekarang? Buat benda sama? Jangan kita ulang budaya ‘election goodies’ kerajaan dahulu. Be better,” kata Syed Saddiq.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada sekitar 1.3 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengumumkan bantuan RM200 kepada kira-kira sejuta pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Kesemua pembayaran bantuan khas itu pula katanya akan dibuat dalam tempoh 14 hari lagi, ketika enam negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan menghadapi PRN serentak pada pertengahan Ogos depan.

“Dengan pemberian permulaan ini diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian dalam ucapannya di majlis pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut berkata, disamping pemberian elaun khas itu, kerajaan juga sedang dalam proses menyelaraskan gaji penjawat awam dengan melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Pada 13 Julai lalu, Anwar berkata, skim gaji penjawat awam akan disaran untuk dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan pimpinan tertinggi pegawai kerajaan sebelum PRN, pada 12 Ogos ini.

Syed Saddiq turut mempersoalkan tarikh pembayaran elaun khas itu yang menurutnya serentak dengan tarikh PRN.

“Biasanya kita dengar bantuan khas ini diberikan apabila pembentangan bajet, musim perayaan.

“Tapi sekarang? Why the sudden announcement? Sebab minggu depan PRN?,” soal Syed Saddiq.

Walaupun menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, untuk PRN kali ini Muda tidak menyertai blok PH dan Barisan Nasional (BN) tetapi memilih untuk bertanding secara solo di 20 kerusi DUN daripada 245 kerusi DUN dari enam negeri tersebut. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp