TERKINI

BDS Malaysia lancar petisyen desak PNB boikot syarikat Caterpillar demi Palestin

Jentera Caterpillar – foto Fance 24

KUALA LUMPUR, 29 Jan 2024 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia telah melancarkan petisyen untuk mendesak Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang juga pemegang saham terbesar dalam Sime Darby yang mengedar jentera Caterpillar buatan Amerika untuk menghentikan hubungan perniagaan dan memboikot syarikat dari Amerika Syarikat (AS), sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin.

Menurut BDS Malaysia jentera tersebut kerap digunakan oleh rejim Israel untuk memusnahkan rumah-rumah penduduk Gaza.

“Mesin itu juga digunakan di Tebing Barat untuk membina ratusan penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas secara haram daripada rakyat Palestin.

“Syarikat yang mengedarkan jentera Caterpillar di rantau ini ialah Sime Darby, dan pemegang saham terbesar Sime Darby ialah PNB.

“Kami menyeru PNB untuk memberi tekanan kepada Sime Darby untuk mengkaji semula hubungan perniagaan mereka dengan syarikat Caterpillar dan memboikot syarikat itu jika itu yang diperlukan untuk memastikan mereka berhenti membantu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Ini adalah sumbangan minimum yang boleh dibuat oleh Malaysia untuk mempertahankan rakyat Palestin daripada ditindas oleh Zionis Israel. Ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp