KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2023 – Penyokong Umno masih tidak boleh menerima kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) kerana terdapat komponen parti kerajaan itu seperti DAP yang menyerang Islam, dakwa bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar.
Beliau mendakwa, kenyataan pemimpin DAP seperti bekas Setiausaha Agung Lim Guan Eng menjurus serangan terhadap Islam berbanding parti politik.
“Kalau tengok, ini pandangan saya sebagai orang luar, tengok gelombang-gelombang ini, gelombang hijau (contohnya), masalahnya kita tak serang parti politik, kita serang agama Islam.
“Itu salah, sebab itu orang Melayu dalam Umno tidak boleh terima, kamu (Umno) bercampur dengan golongan yang serang Islam,” kata Syed Hamid.
Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar 408 bertajuk Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara, yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian, pada Selasa.
Beliau turut merujuk contoh seperti kenyataan Guan Eng, pada Julai lalu, yang didakwa sengaja membangkitkan isu berkaitan agama, perkauman, dan institusi beraja atau 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu bagaimanapun berkata kenyataan berhubung ucapannya itu diputarbelitkan.
“Kalau dilihat kenyataan Guan Eng, kalau ini naik habis kuil-kuil. Apakah dia lupa sistem yang selama ini yang negara gunakan, merdeka dan sebelum merdeka ia sebuah negara diperintah oleh orang Islam.
“Bila kita bincang berkenaan 3R kita tidak seimbang, apakah DAP tidak mainkan isu 3R. Pengundinya semuanya lebih 90% daripada satu kaum.
“Mereka juga kena betulkan pemikiran bukan sahaja orang Melayu,” kata Syed Hamid.
Susulan kenyataan itu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) menuntut pengerusi DAP itu, memohon maaf secara terbuka dan Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa kenyataan berhubung meroboh kuil adalah satu perbuatan yang cukup berbentuk perkauman, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.
Dalam program Wacana Sinar itu juga, Syed Hamid berkata, prestasi buruk Umno pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri minggu lepas sudah boleh dijangka dari awal, berdasarkan keputusan ketika Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung tahun lepas.
Syed Hamid yang meninggalkan Umno pada Jun 2018 berkata, Umno kini adalah kapal besar yang mempunyai lebihan muatan dan tidak boleh beralih kepada pembaharuan.
“Banyak orang dah ramal (prestasi Umno merundum) lihat pilihan raya pada 2003, Umno mencipta prestasi terbaik dalam sejarah politik Malaysia, namun pada 2008, semakin merudum malah tidak sampai dua per tiga sokongan rakyat terhadap Umno.
“Itu semua tanda-tanda apabila 2013 sekali lagi prestasi Umno merosot. Kalau tidak belajar dari sejarah dan tidak faham untuk membaca carta yang dibentangkan dengan data yang ada, inilah nasib Umno pada hari ini,” katanya.
Beliau merupakan salah seorang panel jemputan disamping Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Setiausaha Kerja Penerangan PKR, Iswardy Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Asia, Jamalee Bashah. – malayadaily.com