TERKINI

Bekas MP Fail Semakan Kehakiman Kepada SKMM Kerana Sekatan Blog

Wee Choo Keong – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2023 – Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong telah memfailkan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan sekatan yang dikenakan terhadap blognya tanpa sebarang alasan.

Wee dalam dokumen semakan kehakiman itu menyatakan, beliau menyedari laman blog miliknya weechookeong.com telah disekat pada 24 Julai lalu.

Wakil rakyat selama tiga penggal sejak 2008 hingga 2013 itu berkata, pada 27 Julai peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada SKMM dan mendapat jawapan daripada agensi berkenaan tiga hari kemudian dengan mengatakan sekatan dibuat atas arahan pihak polis.

Jawapan balas itu mengatakan, sekatan itu dibuat berdasarkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya menyatakan bahawa surat tuntutan responden tersebut juga menuntut agar saya menurunkan dan memadam kesemua Twit saya dan terbitan saya di Facebook yang melibatkan responden.

“Kini, blog saya tersebut masih disekat oleh Responden dan penyekatan ini berterusan tanpa alasan yang munasabah oleh Responden (“without just cause”) dan saya menyatakan bahawa responden tiada kuasa untuk terus menyekat akses kepada blog saya tersebut,” katanya, dalam dokumen yang diperolehi Malayadaily.

Blog itu katanya telah wujud sejak 18 tahun lalu dan menerbitkan lebih daripada 1,000 artikel.

Wee berkata, sepanjang tempoh itu, blog tersebut telah menerima satu kes saman fitnah berkaitan syarikat AirAsia Bhd tetapi tuntutannya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Selepas perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tuntutan fitnah tersebut ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Su Geok Yiam pada Mac 2018.

“Antara intipati keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah isi kandungan artikel tersebut adalah benar atau benar secara substantif,” kata Wee, yang juga seorang peguam.

Selain itu, blog tersebut katanya menerbitkan hujahan di Parlimen, ucapan di Parlimen, soalan dan jawapan di Parlimen, selain aktiviti di kawasan Parlimen Wangsa Maju, aduan daripada orang awam mengenai perkhidmatan DBKL yang tidak memuaskan dan isu-isu kepentingan awam, sepanjang tempoh perkhidmatannya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp