TERKINI

Benarkan sekolah vernakular terima dana arak/judi, kerajaan boleh henti beri peruntukan – Ibrahim Ali

Ibrahim Ali (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 29 Julai 24 – Presiden parti Putra, Dato Dr Ibrahim Ali berpendapat bahawa sekolah-sekolah vernakular harus dibenarkan menerima dana judi dan arak dan mencadangkan agar kerajaan boleh menghentikan peruntukan memandangkan sekolah vernakular tidak mengikut dasar pelajaran Malaysia.

Beliau dalam satu kenyataan ringkas berkata, selain dari itu, pelajar Islam juga tidak harus dibenarkan memasuki sekolah vernakular sekiranya kerajaan membenarkan mereka menerima dana judi dan arak.

“Sumbangan dana arak dan judi adalah isu moral kerana sekolah vernakular bukan sekolah Islam.

“Maka sekolah vernakular (patut) dibenarkan terus menerima dana judi dan arak dengan syarat, tidak benarkan kemasukan pelajar Islam dan hentikan dana kerajaan kerana sekolah vernakular tidak mengikut dasar pelajaran Malaysia. Katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Ibrahim Ali turut menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan agar memberi maklum balas mengenai status pelajar Islam yang bersekolah di sekolah vernakular.

“Saya juga minta Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa mengenai pelajar Islam yang belajar di sekolah vernakular yang diketahui menerima dana dari hasil wang judi dan arak.

“Halal atau haram semua depa boleh balun. Anak-anak terdedah kepada isu moral. Majlis Fatwa bersuaralah. Ujar Ibrahim Ali.

Terdahulu, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang.

Foto beliau di atas pentas bersama kain rentang memaparkan logo jenama arak menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik yang turut membangkitkan garis panduan KPM berkait sumbangan syarikat arak kepada sekolah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp