PUTRAJAYA, 30 Nov 2023 – Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kebimbangannya ke atas nasib penduduk Gaza yang kini berdepan musim sejuk selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.
Melihat situasi ini Mahathir menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaunnya yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.
Mahathir dalam satu kenyataan berkata, sebelum ini Aman Palestin telah menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon bagi mengurangkan kesengsaraan mereka namun telah dibekukan SPRM susulan siasatan ke atasnya.
Mahathir berpendapat SPRM seharusnya membenarkan wang itu disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab bagi menghadapi musim sejuk walaupun Aman Palestin masih dalam siasatannya.
“Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang di amanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin.
“Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.
SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa entiti lain berjumlah RM15.8 juta susulan siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan dana sumbangan berjumlah RM70 juta. – malayadaily.com