TERKINI

Boikot produk berkait Israel: KPDN tiada kuasa halang, KSM minta individu terkesan buat aduan

Poster boikot produk terkait Israel – foto Intan Faznita

KUALA LUMPUR, 15 Nov. 2023 – Timbalan Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh memberitahu bahawa ketika ini kerajaan tidak mempunyai sebarang dasar berhubung tindakan memboikot sesuatu barangan oleh pengguna.

Ketika menyentuh mengenai tindakan pengguna memboikot produk berkait Israel, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menghalang kerana ia merupakan hak mereka.

“Sebagai kerajaan pendirian kita adalah menyokong Palestin, itu pendirian kita. Tetapi sama ada interpretasi itu nak menyokong, boikot atau tidak, itu terserah kepada individu atau pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

“Jenama antarabangsa ini mereka bayar royalti. Akan tetapi pengguna yang membuat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sementara itu di Putrajaya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa mana-mana individu yang terjejas akibat kempen boikot untuk membuat aduan.

Bagaimanapun Menteri KSM, V Sivakumar memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu setakat ini.

“Kalau ada pekerja yang terjejas, dibuang kerja dan sebagainya mereka mempunyai hak untuk membuat aduan dan kami akan melihat perkara itu dan mengambil tindakan,” katanya sidang media sempena Perhimpunan Persatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesan kempen boikot yang dilihat semakin memuncak susulan peperangan antara Palestin dan Israel yang memasuki hari ke-39.

Gerakan kempen boikot terhadap produk Israel dan sekutunya bukan hanya berlaku di negara ini malah seluruh dunia mengambil tindakan sama sebagai solidariti bersama Gaza.

Peperangan sejak 7 Oktober lalu yang membabitkan Hamas iaitu pihak yang berkuasa di Gaza dan rejim Israel telah meragut ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp