TERKINI

Kenyataan Rafidah Aziz mengecewakan, Hormati hak Orang Melayu dalam perlembagaan

Kenyataan terbaru Tan Sri Rafidah Aziz di Universiti Malaya baru-baru amat mengecewakan dan kemungkinan besar beliau tidak faham perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan orang-orang Melayu di tanahair kita.

Saya amat menghormati Tan Sri Rafidah Aziz tetapi amat tidak setuju dengan pandangan beliau kali ini.

Apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Rafidah Aziz sudah pun bangsa Melayu mempraktikkannya dari dulu, kini dan selamanya.

Bangsa Melayu adalah kalangan yang amat baik serta ikhlas dengan kaum-kaum lain.

Sejak kaum-kaum lain diterima sebagai warganegara Malaysia kepimpinan Melayu tidak pernah menganiayai atau menidakkan hak-hak mereka walaupun sebesar zarah.

Orang-orang Melayu amat menghormati hak-hak kaum-kaum lain di negara kita.

Sebab itu kini kaum-kaum lain berjaya menguasai ekonomi negara kerana kepimpinan Melayu tidak pernah mensabotaj atau menyekat peluang-peluang perniagaan mereka.

Tan Sri Rafidah Aziz tidak perlu bercakap mengenai konsep kasih sayang serta hormat menghormati antara kaum-kaum di negara kita kerana perasaan itu sudah terjalin kuat di sanubari orang-orang Melayu.

Apabila pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju memberi kerakyatan sejumlah satu juta orang dan ribuan ekar tanah-tanah milik negara kepada kaum-kaum lain selepas negara mencapai kemerdekaan merupakan satu manifestasi ikhlas orang-orang Melayu terhadap kaum-kaum lain di negara kita.

Memang kita setiap hari mengamalkan budaya ‘love,’ ‘respect’ dan ‘peace’ sesama kaum-kaum lain di tanahair kita yang tercinta ini.

Tetapi hak-hak orang-orang Melayu sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan mesti dihormati dan dijunjung tegas secara ikhlas oleh kaum-kaum lain di negara kita.

Kaum-kaum lain kena ikhlas menghormati hak-hak orang-orang Melayu dan jangan sama sekali beragenda untuk merampas kuasa politik Melayu seterusnya berkuasa secara mutlak.

Batasan-batasan di bidang poliik, ekonomi, sosial dan agama harus ada serta mesti diterima oleh semua pihak secara hakikatnya.

Kaum-kaum lain juga jangan cuba untuk mencampuri hal-ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam sepertimana kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat oleh beberapa pemimpin-pemimpin DAP baru-baru ini.

Mereka jangan cuba untuk menghakiskan kekuatan politik orang-orang Melayu dengan cara untuk mengadakan pilihanraya perbandaran dan melaksanakan pensempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya.

Bangsa lain yang menjadi warganegara Malaysia yang sudah tinggal berpuluhan tahun di negara ini juga sepatutnya sudah seratus-peratus boleh menulis ataupun bertutur secara fasih dalam bahasa Melayu.

Masyarakat Melayu boleh membuka ruang untuk calon-calon politik dari kaum-kaum lain bertanding di kawasan-kawasan pilihanraya yang majoritinya pengundi Melayu dan dalam masa yang sama kaum-kaum lain tidak boleh ‘buka pintu’ untuk calon-calon Melayu bertanding di kawasan-kawasan mereka.

Sejujurnya, saya ingin tanya Tan Sri Rafidah Aziz kaum mana yang lebih ikhlas mengamalkan budaya hormat-menghormati serta kasih-sayang di antara kaum-kaum di tanahair yang tercinta ini?

Kita tetap akan menjunjung secara tegas pada integrasi nasional ke arah membina masa depan negara secara aman-damai bagi mencapai kemakmuran bersama.

Atas dasar ini jugalah kepimpinan Melayu memperkenalkan ‘pengdemokrasian pendidikan’ secara adil saksama antara kaum-kaum tanpa mengira apa saja darjat mereka.

Pendidikan merupakan teras utama untuk memajukan sesebuah bangsa itu tetapi kepimpinan Melayu tidak pernah menidakkan hak-hak kaum-kaum lain di bidang pelajaran.

Untuk pengetahuan Tan Sri Rafidah Aziz inilah keikhlasan orang-orang Melayu pada mana-mana kaum yang berada di bumi Malaysia.

Cuma apa yang kita pertikaikan kadang-kala jangan bercakap untuk kaum-kaum lain memahami budaya serta mengamalkan adat resam Melayu tetapi malangnya masih ramai di kalangan mereka masih tidak boleh bertutur secara fasih dalam bahasa rasmi negara kita.

Sebenarnya juga, teguran-teguran ikhlas harus ada terhadap kaum-kaum lain dari kategori ini kerana kita benar-benar ikhlas untuk mengasimilasikan mereka tanpa perlu pun bertukar agama demi perpaduan nasional.

Bila kita melakukan ini berdasarkan pada perlembagaan persekutuan apakah ini satu kesalahan?

Untuk makluman Tan Sri Rafidah Aziz berhak melontarkan apa saja pandangan-pandangan beliau tetapi bagi pihak kami akan terus menegur secara jujur terhadap mana-mana kaum-kaum lain yang tidak mahu berpegang erat pada kontrak sosial yang telah dipersetujui secara bersama dari sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Bagi diri saya akan terus menyanggah mana-mana individu-individu dari kaum-kaum lain yang tidak ikhlas untuk menghormati perlembagaan persekutuan.

Sama-samalah kita pertahankan bumi Tanah Melayu ini dan janganlah kita hanya ‘menang sorak kampung tergadai’ serta ‘menang jadi arang kalah jadi abu.’

Sekiranya kita hilang apa-apa kuasa di negara kita jangan mimpi bangsa Melayu boleh merampas semula kuasa tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab keseluruhan orang-orang Melayu untuk menjaminkan agar anak cucu kita tidak merempat di bumi sendiri.

Sekiranya Tan Sri Rafidah Aziz mahu melihat perkara ini berlaku pada anak bangsanya itu adalah hak beliau tetapi kami akan terus mempertahankan hak-hak orang-orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

‘TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA.’

Oleh : Khairuddin Abu Hassan

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp