PUTRAJAYA, 16 Sept 2023 – Melayu yang kuat dan hebat akan membuatkan bangsa lain menghormati mereka, kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, ketika ini bukan Melayu memandang rendah kepada orang Melayu kerana beranggapan komuniti itu tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan kerajaan.
“Bagi saya apabila Melayu ini menjadi kuat hebat orang Cina akan hormat kepada orang Melayu sebagai bangsa yang berkebolehan.
“Sekarang mereka tahu ramai jurutera, ramai peguam, tapi semuanya ditaja melalui dasar ekonomi baru, tindakan afirmatif dan sebagainya,” kata Teo.
Beliau berkata demikian ketika Minggu Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya, baru-baru ini.
Teo berkata, bangsa selain Melayu juga akan memandang tinggi orang Melayu dan bersedia untuk berasimilasi dengan kerelaan sendiri sekiranya mereka berupaya bangkit tanpa sebarang bantuan kerajaan.
“Orang Melayu boleh bangkit lebih-lebih lagi tanpa tongkat, orang Cina akan pandang tinggi dan dengan itu mereka akan belajar bahasa Melayu iaitu bahasa bangsa yang berkebolehan dan segala-galanya.
“Kalau kita lihat orang Melayu yang berjaya di Amerika Syarikat di mana-mana di luar negara bukan ada tongkat di sana, kebolehan semata-mata jadi kalau agregat itu banyak di Malaysia ini kejayaan orang Melayu itu jadi orang Cina terutamanya akan pandang tinggi pada orang Melayu.
“Segala hal Melayu itu akan diterima dengan mudah saja dan kalau mereka terima dengan mudah mereka boleh mengidentifikasikan mereka dengan orang Melayu iaitu kelompok dominan, itu sudah asimilasi, atau pun perpaduan ditahap psikologi,” katanya.
Teo berkata, asimilasi juga merupakan cara terbaik bagi memupuk perpaduan di dalam negara.
“Sekarang perpaduan kita pada tahap sosial saja, maknanya gitu-gitu saja dan kalau jumpa senyum ataupun tak senyum, maknanya kita tidak ada kerukunan, tak ada sokong menyokong dan lebih teruk lagi kita curiga mencurigai antara satu sama lain.
“Ini suatu fakta orang Melayu tak percaya pada orang Cina, orang Cina pun tak percaya pada orang Melayu bagaimana kita nak maju sebagai sebuah negara maknanya kita berpecah, tak adalah berpecah secara terbuka tetapi memang berpecah tidak ada kerukunan tak ada sokong menyokong,” tambahnya. – malayadaily.com