TERKINI

Memahami Hubungan Semiotik Anwar Dengan DAP

Gambar hiasan – malaydaily.com

Benarkah Anwar bergantung dengan DAP?

Soalan ini saya ajukan kerana ramai berpendapat, Anwar Sang Perdana Menteri banyak bergantung dengan sokongan DAP. Namun, benarkah demikian? atau sebaliknya?

Menanyakan kembali persoalan ini, agak penting untuk kita memahami hubungan semiotik antara Anwar Ibrahim dengan Parti Tindakan Demokratik.

Memahami hubungan semiotik ini akan membolehkan kita berdamai dengan kemarahan dan kebencian terhadap salah satu subjek : DAP, atau kedua-duanya.

Kita mula dengan laporan media atas talian di sini, di sini dan di sini.

Laporan media memetik apa yang dikatakan oleh Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP mengenai tawaran atau janji Loke kepada wakil rakyat DAP untuk meletakkan jawatan sekiranya beliau gagal meyakinkan kerajaan pimpinan Anwar untuk menggugurkan rancangan pindaan perlembagaan berkaitan mendapat hak kerakyatan Malaysia secara automatik.

Laporan itu menyatakan, selepas pertemuan antara Loke (SG DAP), Anwar (PM-Presiden PKR), Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Saifuddin Nasution (Menteri KDN), pada 22 Mac 2024 seperti dilaporkan oleh Borneo Post, kerajaan telah memutuskan untuk menggugurkan cadangan pindaan tersebut, sesuai dengan desakan Loke dan DAP.

Laporan konsisten dari tiga buah media ini sesuai dengan persepsi bahawa Anwar terikat dengan DAP. Umum boleh rumuskan bahawa pengaruh DAP ke atas Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani, memang cukup besar dan kuat.

Ini menjadi manifestasi jarum halus DAP dalam menentukan kepentingan perjuangan mereka dalam kerajaan diutamakan melebihi kepentingan perjuangan PKR, Amanah malah UMNO itu sendiri. Ini bukan manifestasi kerajaan ‘perpaduan’ sebaliknya ini manifestasi kerajaan ‘boneka’.

Semakin ramai berpendapat, cengkaman pengaruh DAP ini adalah kerana parti tersebut mempunyai jumlah kerusi parlimen yang dominan dalam Pakatan Harapan (PH), melebihi kerusi PKR dan Amanah, hatta UMNO.

Namun, senario ini masih belum menjelaskan hubungan semiotik antara Anwar dengan DAP.

Disebalik angka dan peristiwa-peristiwa yang menunjukkan Anwar hanyalah PM boneka DAP, hakikatnya DAP yang bergantung kepada Anwar untuk membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan dan melaksanakan agenda dan cita-cita mereka.

Anwar sebelum 1998, bukanlah sesiapa bagi DAP. Malah, pada 1997, mendiang Karpal Singh, seorang pemimpin utama DAP telah mendakwa mempunyai bukti berhubung skandal seks Anwar.

Tetapi, keadaan berubah pasca 1998, DAP telah membuat u-turn 360 darjah untuk menyokong Anwar.

“Bagi DAP, tidak ada rakan yang tetap atau musuh selamanya, tetapi yang kekal hanyalah prinsip.”
(No permanent friends or enemies, only permanent principles),
demikian kata-kata mendiang Karpal menjustifikasikan sokongan mereka kepada Anwar.

Prinsip yang dimaksudkan ini, bukan sekadar prinsip—ideologi perjuangan, tetapi prinsip berpolitik yang mahu menang.

Atas kesedaran prinsip berpolitik yang mahu menang itu, Anwar dilihat sebagai satu ‘dahan’ untuk DAP berpaut. Era 1998, adalah penanda aras gejolak politik yang cukup besar, yang mana pemain utamanya adalah Anwar.

Ini membuka jalan kepada DAP untuk masuk dalam perlumbaan kuasa ke Putrajaya. Di sini Anwar dianggap pemimpin De facto DAP.

Disudut lain, DAP juga melihat Anwar sebagai susuk pemimpin Melayu yang mempunyai gaya pemikiran yang cocok dengan budaya mereka, iaitu seorang Melayu yang memiliki pesona dan mesra dengan gaya hidup liberal.

Pesona Anwar ini amat penting bagi DAP untuk menyeludup imej dan dasar parti tersebut dikalangan pengundi majoriti di Malaysia.

Dengan gaya dan retorik Anwar “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya…”, telah mengkristalkan idea Malaysian Malaysia dalam linggo bahasa pengundi majoriti yang mempersona dan meruntun jiwa.

Inilah hubungan semiotik antara Anwar dengan DAP. Anwar melahirkan retorik ampuh yang dicari-cari oleh DAP selama ini, sejak penubuhan parti tersebut pada tahun 1966.

DAP sebelum itu pernah bekerjasama dengan Ku Li dalam Gagasan rakyat, ternyata gagal. Kerjasama politik ini tidak memiliki retorik sehebat retorik ‘ketimbang’ Anwar.

Hari ini, tanpa Anwar, DAP tidak ada apa-apa untuk dijual. Kerana Anwar juga, DAP sanggup menerima Zahid Hamidi. Kerana Anwar juga, DAP memiliki lebih 40 buah kerusi Parlimen.

Maka, disinilah hubungan semiotik itu. Justeru, membuka pekung retorik ketimbang Anwar secara berterusan, akan menjadikan DAP tidak lagi releven. Ancaman politik boleh dineutralisasikan.

Oleh : Mahdzir bin Ibrahim – bekas pemimpin dan ahli DAP

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp