KUALA LUMPUR, 20 Okt 24 – Ahli Parlimen PKR Hassan Karim menimbulkan persoalan adakah cadangan tahanan rumah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu ucapan belanjawan baru-baru ini sebagai suatu “persiapan awal” untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang-undang “untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu”.
Memetik laporan malaysiakini, Hassan Karim juga mempersoalkan mengapa perkara itu dimasukkan di dalam ucapan Belanjawan 2025.
“Hanya satu perenggan sahaja.Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan?
“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.
“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mempersoalkan apakah jenis kesalahan jenayah yang akan dikenakan hukuman itu, Hassan bertanya adakah ia turut meliputi mereka yang disabit bersalah atas dakwaan rasuah dan pecah amanah jenayah.
Dia berkata walaupun Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 – yang melibatkan perubahan signifikan dalam undang-undang kewarganegaraan – diluluskan dengan majoriti dua pertiga, keadaan pastinya tidak sama untuk sebarang usaha menggubal akta berkaitan tahanan di rumah.
Katanya, ia pasti akan ditentang oleh rakyat dan ahli Parlimen jika dilihat dari awal ia untuk memberi keistimewaan tertentu kepada golongan elit.
“Saya harap perdana menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian.
“Lokasi itu adalah rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat. – malayasiakini.com