KUALA LUMPUR, 12 Jun 2023 – Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP), bank koperasi ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 yang dikawal selia bersama oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), berjaya merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2021.
Pengerusinya, Datuk Baharom Embi, berkata CBP mencatat keuntungan sebelum cukai RM86.156 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021, meningkat 2.4 peratus atau RM2 juta berbanding RM84.15 juta direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan keuntungan ini hasil tawaran produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan CBP,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan CBP ke-64 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar, di sini hari ini.
Baharom berkata, pihaknya mencadangkan pemberian dividen bersih pada kadar 6.1 peratus bagi syer biasa dan 6.8 peratus untuk syer keutamaan (iRCPS), namun keputusan muktamad akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan dan persetujuan SKM.
“Kami sudah mencadangkan pembayaran dividen pada kadar berkenaan kepada SKM dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Kadar dividen yang dicadangkan kepada SKM ini adalah kompetitif walaupun kita berdepan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lalu,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2020, CBP mengumumkan dividen bersih pada kadar 6.0 peratus bagi syer biasa dan 6.7 peratus untuk syer keutamaan.
Sementara itu, Baharom berkata, CBP membuka peluang kepada anggota sedia ada atau yang berdaftar sebelum 1 Jun lalu untuk menambah syer di bank berkenaan yang dibuka sehingga modal syer mencapai RM1 bilion berdasarkan permohonan paling cepat.
“Maksimum penambahan syer bagi anggota individu adalah RM50,000, koperasi pula RM100,000, termasuk baki syer sedia ada.
“Anggota atau pelanggan yang sudah mendaftar dan dalam senarai menunggu sehingga 30 April lalu, akan terima surat tawaran untuk tambah syer atau jadi anggota dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini keanggotaan baharu masih lagi dibuka di beberapa cawangan baharu CBP secara ‘walk in’, namun had model syer yang dibenarkan masih kekal RM5,000 bagi individu dan RM10,000 bagi koperasi.
Mengenai keanggotaan CBP, beliau berkata, jumlahnya berkurangan sebanyak 858 anggota, iaitu daripada 92,459 pada 2020 kepada 91,601 keanggotaan sehingga Disember 2021.
“Jumlah dana pemegang syer setakat 31 Disember 2021 pula adalah sebanyak RM1.03 bilion dengan penurunan 3.34 peratus berbanding RM1.06 bilion pada 2020. Penurunan ini tidak begitu ketara dan saya yakin CBP mampu terus menarik lebih ramai anggota tahun ini,” katanya. – Berita Harian