KUALA LUMPUR, 22 Feb 2024 – Dakwaan NGO Pusat Komas bahawa wujudnya setiap tahun kes-kes diskriminasi di Malaysia, disifatkan sebagai kes-kes terpencil, menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong.
Bercakap dalam wawancara bersama malayadaily, tokoh akademik itu ada menyentuh tentang laporan setiap tahun oleh Pusat Komas mengenai berlakunya kes-kes diskriminasi etnik di negara ini, beliau mengakui kewujudan kes tersebut, namun ia bukan berlaku kerana sistem, sebaliknya kes terpencil yang melibatkan kelemahan sikap seseorang.
“Ada wujud satu NGO yang bernama pusat KOMAS ini, NGO tentang hak asasi manusia dan mereka menjurus kepada anti diskriminasi dan setiap tahun mereka keluarkan laporan dan laporan itu adalah kompilasi kes-kes yang dilaporkan entah kepada mereka ke yang mereka dapati daripada mana-mana, tentang wujudnya diskriminasi ini.
“Laporan Komas saban tahun itu yang kadang-kadang meningkat, yang kadang-kadang statik kadang-kadang turun sikit, adalah kes-kes terpencil.
“Jadi kes-kes terpencil ini kita akui itu memang diskriminasi tetapi ia bukan sistemik dalam sistem itu.
Teo Kok Seong berpendapat, antara kes yang pernah diangkat oleh Komas, yang melibatkan isu antara seorang Guru Besar sekolah ketika bulan ramadhan di mana kes tersebut mendapat kritikan dikalangan rakyat.
“Satu kes yang berlaku dahulu KOMAS angkat itu sebagai wah ini diskriminasi di Malaysia , adalah kes waktu Ramadan itu di sebuah sekolah itu guru besarnya Melayulah jadi mungkin budi bicara waktu tu tak berapa kena kan.
“Jadi dibuat semacam peraturan mereka yang bukan Melayu yang tak berpuasa itu itu di sekolah rendah kan mereka diminta makan makanan yang mereka bawa itu di tandas begitulah, itu kes terpencil dan orang-orang Melayu lain yang mengetahui kes itu pun mereka pun tidak sokong kes itu kan itu tak betul itu.
“Jadi pertimbangan tak betul waktu tu oleh guru besar itu dan takkan itu kita nak angkat sebagai satu kes yang ada dalam sistem kita kan kes-kes terpencil begitu. Ujarnya.
Menurutnya, kita harus mengakui orang-orang Melayu ramai di dalam sektor awam, maka sememangnya ada dikalangan mereka yang bersikap berlebihan dalam pentadbirannya.
“Orang Melayu yang semangat Melayunya terlalu kuat, semangat Islamnya terlalu kuat, jadi kadang-kadang kita dapati ada salah guna kuasa di situ kan.
“Dan saya kira dalam kalangan masyarakat bukan Melayu pun orang Cina pun kalau jadi ketua kadang-kadang ada yang semangat Cinanya kuat, kadang-kadang disalahgunakan kuasanya maka wujudlah diskriminasi terhadap yang Melayu itu dan itu kes terpencil.
Pada 2013, laporan media mendakwa Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh menempatkan pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan sekolah itu pada bulan Ramadan.
Hasil siasatan Pengarah Pelajaran negeri Selangor, Mahmud Karim bagaimanapun menafikan bahawa tempat tersebut adalah tandas seperti yang didakwa pihak tertentu. Jelas beliau, sebab pelajar-pelajar tersebut ditempatkan di bilik persalinan adalah kerana kantin sekolah itu sedang diubahsuai.
Katanya, pihak polis juga telah mendapati kes itu tidak ada unsur menganaiyai pelajar makan di tandas. Tambahnya mereka diberikan kerusi meja untuk pelajar makan. – malayadaily.com