TERKINI

PAC jawab Menteri MOT : Prosiding diadakan atas prinsip semak imbang – Mas Ermieyati

Mas Ermieyati binti Samsudin (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Dis 24 – Prosiding berhubung Perolehan Keretapi Elektrik (EMU) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), Perbadanan Aset Keretapi dan KTMB diadakan selaras dengan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai mekanisme semak imbang antara cabang Perundangan dan cabang Eksekutif.

Menurut Pengerusi PAC, YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Samsudin menjelaskan bahawa apabila jawatankuasa ini mengadakan prosiding, ia tidak bermakna bahawa isu berkenaan berhadapan dengan masalah.

“PAC juga ingin menjelaskan bahawa apabila jawatankuasa ini mengadakan prosiding, ia tidak bermakna bahawa isu berkenaan berhadapan dengan masalah daripada segi ketirisan, pembaziran atau penyelewengan sebaliknya, Jawatankuasa ini turut berperanan melihat sebarang cadangan perolehan atau projek Kerajaan.

“Ini adalah peranan yang perlu dimainkan oleh PAC sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai mekanisme semak imbang antara cabang Perundangan dan cabang Eksekutif melalui punca kuasa yang diberikan di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR), Arahan Perbendaharaan Tahun 2023 dan Pekeliling Am Bahagian 1 Tahun 2024 Organisasi Kementerian-kementerian Jabatan Perdana Menteri. Ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mas Ermieyati juga menjelaskan bahawa banyak pihak memberikan tanggapan kepada PAC bahawa Jawatankuasa ini, sering terlewat untuk memulakan prosiding berhubung isu perolehan atau tata kelola kewangan Kerajaan sehinggalah ia bermasalah.

“Perkara inilah yang berlaku dalam banyak prosiding PAC dan yang terbaharu adalah berhubung perolehan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS).

“Saya ingin menjelaskan kepada YB Menteri Pengangkutan berhubung kenyataannya semalam bahawa ini bukan kali pertama untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan prosiding dengan memanggil kementerian untuk memberikan penjelasan sebelum Kerajaan membuat sebarang keputusan termasuk menandatangani kontrak. Katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempersoal kewajaran siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion.

Beliau berkata, projek berkenaan masih di peringkat perancangan dan tiada sebarang kontrak sudah dimuktamadkan.

“Saya tidak tahu apa yang mereka (PAC) mahu siasat. Kontrak pun belum dimeterai. Tiada apa yang perlu mereka siasat kerana ia masih di peringkat perancangan. Ukar Loke.

Dalam kenyataan yang sama, Mas Ermieyati berkata kerajaan atau kementerian seharusnya melihat PAC sebagai satu platform terbaik kepada Kerajaan untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada rakyat secara telus.

“Malah, laporan yang dibentangkan turut mengandungi rumusan serta syor kepada Kerajaan yang dipersetujui secara konsensus semua 14 Ahli PAC sama ada daripada Kerajaan atau Pembangkang selain 7 wakil tetap (ex officio) jawatankuasa ini.

“Justeru, PAC mengalu-alukan kehadiran YB Menteri Pengangkutan ke PAC apabila Jawatankuasa ini memulakan prosiding Perolehan EMU Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) untuk memberikan penerangan dan penjelasan berhubung perolehan ini. Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp