TERKINI

Dana Judi : Khairy Kritik Politik Anwar Ibrahim

Khairy Jamaluddin – Foto the rakyat post

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2023 – Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tindakan Anwar Ibrahim yang berterusan mengulangi isu dana judi walaupun sudah ada jawapan di Parlimen sebagai satu tuduhan yang berat dan sehingga kini tiada bukti yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

“Jika saya berada di tempat PN pun saya berasa marah.

“Saya tak suka politik begini. Kalau ada tuduhan, buat siasatan dan beritahu apa hasil siasatan tersebut,” katanya.

Dalam rancangan podcast ‘Keluar Sekejap’, Khairy membacakan kembali dakwaan Anwar pada 5 disember 2022, Anwar membuat kenyataan bahawa dana pilihanraya untuk parti Melayu dan parti Islam, datang dari syarikat perjudian.

Namun jawapan parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menyatakan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

Walau bagaimanapun, Anwar kekal dengan pendirian yang dikeluarkan sebelum ini semasa menuduh PN menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar berkata tidak akan mengeluarkan dakwaan berhubung dana judi sekiranya tidak asas dan tidak akan menarik balik kenyataan, malah mengalu-alukan sekiranya PN mahu meneruskan saman terhadapnya.

Susulan kenyataan itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu akan berbincang dengan pasukan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp