KUALA LUMPUR, 26 Mei 2023 – Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menggesa Perdana Menteri meminta maaf susulan kenyataannya sebelum ini mendakwa parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi semasa kempen pilihan raya yang lepas.
Menurutnya, jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) bagi menjawab soalan bertulis di Parlimen membuktikan dakwaan itu tidak benar.
Tegasnya, dalam jawapan susulan soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan mendapati tuduhan terlalu umum.
Bahkan dalam jawapan sama, SPRM menyatakan tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan dilontarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat Perdana Menteri selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan Perdana Menteri.
“Kami menggesa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan isu yang sama, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal menyelar dan menyifatkan Perdana Menteri sebagai ‘menipu’.
Dalam statusnya yang dimuat naik, beliau menulis secara ringkas.
“PM10 tipu rakyat dan fitnah Perikatan Nasional.
“Terjawab sudah!
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu sidang media mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Dakwaan berkenaan bagaimanapun disangkal oleh parti gabungan PN iaitu Pas atas alasan mustahil mereka menerima dana politik daripada tauke dan syarikat judi ketika pihaknya tegas menutup tempat kegiatan terbabit. – Awani