KUALA LUMPUR, 28 Mei 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melepaskan sitaan ke atas dua akaun BERSATU selepas disahkan tiada kertas siasatan dibuka.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat baru-baru ini secara jelas membuktikan tiada kesalahan yang dilakukan parti tersebut dalam isu melibatkan dana parti dan tidak sepatutnya SPRM mengambil tindakan menyita dua akaun mereka.
“Oleh itu, sewajarnya akaun Bersatu dibebaskan kerana parti kami tidak menghadapi apa-apa tindakan mahkamah.
“Parti juga adalah entiti berbeza daripada presiden parti yang berdepan kes di mahkamah.
Jadi secara logiknya, kenapa akaun parti yang perlu disita dan apa dosa ahli BERSATU dalam masalah ini?,” katanya seperti yang dipetik laporan Berita Harian.
Terdahulu di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis memberitahu siasatan oleh SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU-15 lalu.
Susulan dari jawapan itu, pemimpin pembangkang mendesak Anwar untuk membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.
Pada April lalu, SPRM mengesahkan langkah menyita dua akaun Bersatu yang dibekukan sebelum ini.
SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001). – malayadaily.com