TERKINI

DAP Kuat Kerana Melayu Tidak Keluar Mengundi – Tun Mahathir

Foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2023 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata DAP mampu menjadi pengaruh kuat dalam kerajaan perpaduan hari ini kerana pengundi Melayu mengambil sikap sambil lewa pada ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, alasan pengundi Melayu bosan dengan politik dan enggan keluar membuang undi menjejaskan kedudukan wakil mereka di parlimen, berbanding pengundi Cina yang merekodkan rekod keluar mengundi yang tinggi.

“Sebelum PRU15 terdengar berita angin bahawa orang Melayu sudah bosan dengan politik. Benarkah?

“Dalam PRU15, 75 peratus sahaja dari pengundi Melayu keluar mengundi. Apakah ini bermakna 25 peratus Melayu bosan?

“Tetapi 95 peratus dari orang Cina keluar mengundi. Apakah ini bermakna orang Cina tidak bosan dengan politik di Malaysia? Apakah ini bermakna mereka berminat dengan politik. Mengapa?”, kata Mahathir.

Ketika itu, DAP katanya mampu mendapat 40 kerusi parlimen kerana majoriti pengundi Cina keluar mengundi sedangkan perkara sebaliknya berlaku kepada pengundi Melayu.

“Pada PRU15 Bersatu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH). Sudah tentu DAP tidak dapat undi Melayu.

“Tetapi DAP menang 40 kerusi Dewan Rakyat. Sebab? Kerana 95 peratus orang Cina keluar undi,” kata Mahathir, dalam tulisannya yang disiarkan hari ini.

Berbanding pilihan raya sebelumnya, Mahathir berkata, pengundi Melayu boleh mengundi PH disebabkan mempunyai Bersatu sebagai komponen membuatkan DAP berjaya mendapat 42 kerusi parlimen.

“Pada PRU 14 DAP dapat 42 kerusi Dewan Rakyat. Tak pernah jumlah yang begini besar. Sebab pengundi Melayu dari parti Bersatu, yang benci dengan Najib, beri undi kepada DAP,” katanya.

Kesan daripada itu kata Mahathir adalah DAP menjadi antara parti yang kuat di dalam kerajaan perpaduan.

Manakala orang Melayu hanya mendapat 73 wakil mereka di parlimen walaupun merupakan penduduk majoriti di negara ini melalui Perikatan Nasional (PN).

“Orang Cina tidak bosan. Hasilnya PH yang lebih ramai bukan Melayu memperolehi 82 wakil rakyat.

“Sementara orang Melayu yang jadi majoriti penduduk di Malaysia dapat hanya 73 wakil rakyat (tidak termasuk Melayu Keadilan, Amanah dan DAP),” kata Mahathir.

“Hari ini parti yang terbesar dalam Kerajaan ialah DAP. Tentulah pengaruh DAP dalam kerajaan perpaduan amat kuat,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp