TERKINI

DAP Untung Besar – Ust. Ahmad Dusuki

Ahmad Dusuki Abdul Rani – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2023 – DAP mendapat kelebihan besar melalui sebarang kerjasama politik disertainya apabila bermula tanpa sebarang sokongan, parti itu kini memiliki bilangan 40 kerusi parlimen, kata Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat itu berkata, disebabkan itu, orang Melayu perlu memastikan kekuatan bangsa dan agama Islam dapat dipertahankan daripada diancam kumpulan terbabit, yang dakwanya mengancam kedudukan mereka.

“DAP daripada asal kosong tiada kekuatan, naik dua kerusi, menumpang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, lepas itu Anwar tarik PAS bersama DAP, dua kali bercerai, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“DAP tumpang Bersatu, dia lihat tak mampu juga, Tun (Dr Mahathir Mohamad) bawa agenda sendiri, keluar Pakatan Harapan.

“Sekarang (DAP) menumpang Umno. Sekarang DAP ambil keuntungan besar daripada tidak ada kerusi menjadi 40 kerusi (Parlimen),” katanya, dalam satu program di Langkawi, baru-baru ini.

DAP dakwanya cuba untuk mengikis kekuatan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Dua kekuatan kita hilang, kekuatan bangsa, lihat bagaimana mereka cuba hancurkan bahasa Melayu. Kemudian kalimah Allah dipertikaikan dikalangan mereka.

“Akhirnya negara kita tak lagi disebut Tanah Melayu, tapi disebut bumi Malaysia. Satu hari nanti tiada lagi bangsa Melayu, yang ada hanya rakyat Malaysia. Ini perancangan mereka, jangan kita benarkan,” katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa orang Melayu untuk memilih dan mengundi wakil pemimpin yang benar-benar layak dalam usaha mengembalikan kekuatan Melayu di negara ini.

“Setiap apa yang kita undi kita akan bertanggungjawab di hadapan Allah. Kembalikan kekuatan Melayu dan Islam, yang Allah jadikan kelebihan buat bumi Malaysia,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp