KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2023 – Pemerhati melihat Malaysia masih lemah dalam menangani kebocoran data maklumat peribadi rakyatnya, kerana kelihatannya ia seperti boleh didapati dengan mudah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun wujud Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, aktiviti penjualan maklumat data rakyat negara ini dikesan di pasaran gelap.
“Ia bukanlah perkara baharu malah telah tular sejak Mei 2022 dan aktiviti menjual maklumat data peribadi rakyat Malaysia adalah antara sumber ekonomi gelap yang telah lama bertapak,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian, pada Sabtu.
Beliau juga merujuk kepada isu data peribadi pengguna dilapor digunakan tanpa kebenaran bagi mendaftar mereka menerusi Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya di Selangor.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata data berkenaan diperolehi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kaedah yang betul.
Namun, Jais berkata, berdasarkan isu tersebut menunjukkan data berkenaan disalahguna bagi tujuan komersial.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlaku pelanggaran terhadap peruntukan dalam PDPA dan Seksyen 9 Akta SPR (Akta 31) adalah tinggi.
Dalam isu membabitkan INSAN, sebuah syarikat telah dilantik sebagai firma pengendali yang mana pihak Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor hanya memegang ekuiti 49 peratus.
“Justeru data peribadi pengundi atau rakyat telah disalur ke entiti komersial yang berisiko terhadap kebarangkalian berlakunya salah guna komersil,” katanya.
SPR juga katanya perlu mengeluarkan kenyataan segera bagi mengesahkan tiada sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang terlibat.
“Ia penting untuk memastikan penggunaan data ini adalah telus dan berintegriti atau sebaliknya.
“MCW khuatir perkara ini akan dijadikan satu ‘pendahulu’ pada masa hadapan sekiranya tidak diperjelaskan segera,” katanya. – Sinar Harian