TERKINI

Dr Mahathir: Bercakap Benar Tentang Sejarah Bukan Jenayah

Mahathir Mohamad – foto Sekretariat Tanah Air

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2023 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kebebasan untuk beliau bersuara seperti disekat apabila disiasat berhubung kenyataan berkaitan Proklamasi Orang Melayu dan sejarah Kedah.

Mahathir berkata, tindakan terhadapnya itu seolah-olah menunjukkan orang Melayu tidak boleh bercakap soal Melayu sedangkan kerajaan diketuai oleh orang Melayu

“Saya perlu mengakui saya merasakan kebebasan untuk saya bersuara bukan sebahagian daripada pembaharuan yang dijanjikan.

“Di Tanah Melayu dengan orang Melayu mengetuai kerajaan, orang Melayu tidak boleh bercakap berkenaan masalah mereka. Itu perkauman.

“Sedangkan Perlembagaan negara sering merujuk kepada Melayu dan kedudukan mereka di dalam negara ini sebagai penduduk pribumi,” kata Mahathir, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambahnya, siasatan yang dilakukan terhadapnya juga seperti beliau tidak menghormati Raja-Raja apabila bercakap tentang sejarah.

Manakala proklamasi itu pula dilihat seperti untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

Sedangkan demokrasi katanya adalah salah satu cara untuk menukar kerajaan melalui pilihanraya ataupun melalui undi tidak percaya.

Malah tiada undang-undang melarang sejarah kecuali ianya adalah kisah palsu.

“Tetapi menceritakan kebenaran berkenaan masa lampau bukanlah satu jenayah,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan membuktikan sekiranya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya berkaitan isu tersebut adalah salah.

“Jika tidak, menghantar polis untuk menyoal siasat saya adalah satu bentuk ancaman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu disoal disiasat pihak polis dan dirakamkan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung Proklamasi Orang Melayu yang dipeloporinya.

Peguamnya, Rafique Rashid berkata Mahathir disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Sebelum ini, Mahathir berkata proklamasi itu bertujuan untuk menyatukan orang Melayu dan memperjuangkan serta mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi mereka. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp