Kuala Lumpur, 30 Mei 2023 – Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua daripada 23 empangan yang dipantau untuk risiko kemarau menunjukkan penyusutan apabila baki stok simpanan air mentah berada pada paras amaran.
Kandungan baki storan air di Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Muda, Kedah masing-masing hanya 46 peratus.
Data infografik yang dikemas kini pada 24 Mei lalu itu turut menunjukkan Empangan Pedu, Empangan Peda dan Empangan Bukit Merah berada pada paras waspada dengan masing-masing mempunyai 66 peratus, 63 peratus serta 69 peratus baki storan air mentah.
Namun, 18 empangan lain di seluruh negara menunjukkan paras normal.
Untuk rekod, baki storan kurang 40 peratus menunjukkan keadaan empangan kritikal, 41 hingga 50 peratus (amaran), 51 hingga 70 peratus (waspada) serta lebih 71 peratus ke atas (normal).
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenal pasti Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor antara negeri yang lebih terkesan dengan impak El Nino.
Ramalan itu berdasarkan pengalaman kejadian El Nino yang berlaku pada 2015 hingga 2016.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan kebarangkalian berlaku El Nino kira-kira 57 peratus.
Fenomena itu dijangka melanda negara pada Jun hingga September ini sebelum meningkat kepada 62 peratus pada September hingga November ini. – Harian Metro