TERKINI

Peguam Kanan pertikai dakwaan Teresa Kok

PUTRAJAYA, 7 Mac 2024 – Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri mempertikaikan ucapan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai dakwaan beliau terhadap Profesor Emiretus Dato’ Dr Teo Kok Seong yang dibuat ketika perbahasan dewan rakyat, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Haniff menyifatkan kenyataan tersebut tidak adil, tidak betul malah songsang kerana pandangan yang dilontarkan oleh Prof Teo Kok Seong adalah perbicangan ilmiah

“Petikan ucapan Teresa Kok di persidangan Dewan Rakyat semalam yang pertamanya tidak adil dan tidak betul, walhal songsang untuk mana-mana pihak terutamanya ahli politik untuk mengatakan mana-mana perbincangan ilmiah, mana-mana kenyataan berpandukan kepada kajian fakta semestinya tergolong di bawah isu 3R, itu salah. Ujar Haniff

Menurut Haniff, isu berkaitan raja, agama dan bangsa, bukan secara automatik menjadi halangan di bawah undang-undang (secara khususnya akta hasutan) kerana mana-mana perbincangan berkaitan 3R dan dalam isu yang dibangkitkan oleh Teresa Kok itu yang berkaitan bangsa tidak secara automatik dihalang di bawah akta hasutan atau undang-undang Malaysia.

“Selagi ianya dibangkitkan berpandukan kepada fakta ilmiah mahupun untuk memberi cadangan secara konsep perundangan berkaitan mana-mana polisi.

“Untuk Teresa Kok mencabar pihak polis Diraja Malaysia menyiasat Prof Emiretus Dr Teo Kok Seong atas gesaan beliau pun adalah salah dan tidak berpandukan kepada undang-undang semata-mata kerana Prof Teo berpendapat melalui penemuan beliau bahawa sekolah vernekular mempunyai ciri-ciri yang menyemai benih perkauman.

“Itu adalah pendapat beliau, pendapat seorang dalam bidang pengajian tidak boleh dihalang untuk beliau atau sesiapa sahaja memberi pandangan ilmiah. Ujarnya.

Tambah Haniff, pendapat Profesor Teo dan mana-mana pakar lain, berkaitan isu bahasa pengantar di sekolah dan kaitan dengan penanaman benih perkauman, adalah wajar untuk dibangkitkan, untuk disampaikan kepada pihak kerajaan mahupun pihak penggubal undang-undang Parlimen supaya mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin negara.

Haniff juga mengingatkan Teresa Kok agar tidak terlalu defensif semata-mata kerana beliau mempunyai keturunan Cina tidak bermakna beliau perlu membela hak sekolah vernakular sekiranya ada asas untuk mengatakan sekolah vernakular menjarakkan menjauhkan meretakkan perpaduan.

“Biarlah pakar mengkaji, biarlah pakar memberi pendapat, sebagai seorang yang dididik di sekolah vernakular Cina tidak bermaksud Teresa Kok adalah pakar dalam bidang itu beliau bukan pakar dalam bidang itu. Kata Haniff

Teresa Kok di Dewan Rakyat baru-baru ini meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap Kok Seong yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan rasis.

Teresa Kok turut menuntut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi amaran kepada pensyarah-pensyarah yang rasis terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp