TERKINI

Enggan Beri Kerjasama Kerana Polis Tidak Siasat Laporan Babit Menteri, kata Badrul

Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard- tengah), Hannah Yeoh (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 15 Sept 2023 – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin mengakui beliau sengaja enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis kerana pihak berkuasa itu tidak melayan laporan yang dibuatnya berkaitan program Jom ke Gereja yang melibatkan Menteri Bia dan Sukan Hannah Yeoh.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, beliau sebelum ini tidak pernah gagal memberikan kerjasama jika diminta pihak polis itu.

“Rekod saya selama ini tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama. Namun keengganan kali ini ekoran polis secara sengaja telah mengabaikan laporan polis saya ke atas Hannah Yeoh (Menteri DAP) mengenai Program Jom Ke Gereja.

“Awal Mac 2023, saya telah membuat pendedahan mengenai salah guna dana Kementerian Belia dan Sukan serta perlanggaran Perlembagaan artikel 11(4) serta pelanggaran perbagai enekmen jenayah syariah diperingkat negeri dengan menganjurkan program Jom ke Gereja iaitu aktiviti membawa bukan penganut Kristian ke gereja bagi memperkenalkan agama Kristian.

“Menteri DAP itu telah membuat laporan polis ke atas saya kerana kononya saya fitnah,” kata Badrul.

Tambahnya, beliau sendiri hadir ke IPD Sentul minta disiasat namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tindakan daripada perkara itu walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Yeoh pada 16 Mac.

“Namun sehingga hari ini semuanya sepi. Saya faham kerana jika disiasat dan bertindak lanjut pasti Yeoh boleh dipenjara.

“Maka regim campuran yang dikawal DAP ini pasti tidak mengizinkan perkara itu terjadi,” katanya.

Disebabkan keengganan itu katanya, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya sejak Julai lalu, namun polis memilih untuk menahannya kurang 48 jam sebelum himpunan Selamatkan Malaysia, anjuran Perikatan Nasional (PN).

“Saya faham polis hanya menjalankan tanggungjawab dan arahan regim campuran, penahanan saya ekoran berpuluh laporan polis dimana enam kertas siasatan dibuka.

“Jika tidak memikirkan untuk berada bersama rakyat untuk Program Aman #SelamatkanMalaysia yang akan bermula di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 16 Sept 2023 selepas Zuhur pasti saya tidak menjawab siasatan kerana mendesak siasatan ke atas laporan saya terhadap menteri DAP (Yeoh) itu,” kata Badrul.

Badrul ditahan oleh sepasukan anggota polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Bukit Aman di Pejabat Agung PAS pada 14 Sept, sekitar jam 8.30 malam.

Siasatan katanya menyentuh ucapannya berhubung isu Ambalat, dan rakaman video TikTok menyentuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, siasatan juga melibatkan dakwaannya mengenai kerjasama badan perisikan Amerika Syarikat (CIA) dan kerajaan Malaysia serta Bank Dunia, dan ucapannya yang mengkritik pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang dikatakan berkaitan isu bangsa, agama, dan raja atau 3R. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp